Selasa, 25 Ogos 2015 | 9:57am

Tokoh digital dunia kongsi kejayaan di KL Converge! 2015

ANDREW Mason, produser The Matrix Trilogy yang berasal dari Australia antara penceramah yang hadir di KL Converge! 2015.
ANDREW Mason, produser The Matrix Trilogy yang berasal dari Australia antara penceramah yang hadir di KL Converge! 2015.

KUALA LUMPUR: Ahli silap mata tekno, bintang YouTube dan produser filem "Matrix Trilogy" adalah antara barisan penceramah terkemuka yang akan berkongsi pandangan dan rahsia kejayaan mereka di KL Converge! 2015.

Turut serta dalam KL Converge! 2015 adalah Andrew Mason, produser The Matrix Trilogy yang berasal dari Australia dan merupakan penceramah yang berpusat di Hollywood.

Beliau terlibat dalam pengeluaran dan penerbitan filem serta televisyen lebih daripada 30 tahun.

Mason telah menerbitkan filem seram Dark City pada tahun 1998 yang telah diarahkan oleh Alex Proyas dan beberapa filem lain seperti "Red Planet," "Scooby Doo," "Queen of the Damned" dan "Kangaroo Jack."

Penghibur YouTube Amerika Syarikat, Brian Brushwood pula akan berkongsi pandangan dan pengalaman beliau bagaimana untuk menarik perhatian penonton menggunakan platform media sosial.

Brushwood terkenal dengan rancangan YouTube yang dipanggil "Scam School." Beliau juga pernah membuat penampilan khas sebagai tetamu dalam rancangan "This Week in Tech" menerusi siaran podcast.

Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran ahli silap mata tekno, Marco Tempest yang terkenal dengan kemahiran sihir multimedia dan teknologi interaktif serta grafik komputer dalam persembahan silap matanya.

Beliau yang berpangkalan di New York pernah meraih pelbagai anugerah dan menempa nama sebagai salah seorang penghibur antarabangsa yang paling unik.

Beliau pernah membintangi dalam lebih lapan episod siri televisyen "The Virtual Magician" yang telah disiarkan di lebih 50 negara di seluruh dunia.

Acara KL Converge! 2015 akan turut menyaksikan penganjuran "Mega Startup Weekend.

Acara itu akan menyaksikan kumpulan pemaju, pengurus perniagaan, peminat startup, pakar-pakar pemasaran dan artis-artis grafik berkumpul menjana idea-idea baharu untuk syarikat peringkat permulaan.

Melalui sesi berkenaan juga, peserta akan bekerjasama secara berkumpulan untuk mencipta prototaip dan selanjutnya melakukan demonstrasi produk yang dicipta itu untuk dibentangkan kepada juri.

Kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian akan dinilai dan para pemenang yang tampil dengan idea-idea paling menarik akan berpeluang menerima pembiayaan bagi memulakan syarikat mereka.

KL Converge! dianjurkan untuk menunjukkan bagaimana komunikasi tertumpu memajukan gaya hidup digital untuk semua rakyat Malaysia.

Ia akan berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), acara ini bakal menjadi acara yang menarik dan penuh dengan maklumat terkini untuk semua orang - daripada pelajar kepada perniagaan dan pembuat dasar. KL Converge! 2015 adalah terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Pendaftaran boleh dibuat di: https://www.klconverge.my/Register dan 100 peserta pertama yang mendaftar akan membawa pulang hadiah-hadiah menarik.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti yang menarik, sila layari https://www.facebook.com/KLConvergeMY. Mengenai KL Converge 2015 KL Converge! merupakan persidangan tahunan dan pameran untuk menunjukkan kuasa komunikasi tertumpu dalam memajukan gaya hidup digital untuk semua rakyat Malaysia.

Acara ikonik ini seterusnya memberi ruang kepada multimedia, aplikasi, Internet dan pemain-pemain industri kandungan kreatif untuk berkongsi idea dan menyedari peluang-peluang baru.

KL Converge, merapatkan jurang antara inovasi dan kreativiti Malaysia dan kandungan multimedia rantaian bekalan global, menjadikan industri ini enjin pertumbuhan dan penyumbang penting kepada KDNK negara.

Tahun ini, KL Converge! direka sebagai multi-platform persidangan industri kreatif dan pameran yang mempamerkan pencapaian terbaru dan peluang dalam muzik, filem, permainan dan ruang Internet dengan lampu khas di negara-negara ASEAN. - BERNAMA

Berita Harian X