Selasa, 16 Jun 2015 | 4:11pm

AT&T anjur Malaysia Developers' Day di KL Converge! 2015

CYBERJAYA: AT&T, syarikat telekomunikasi gergasi Amerika Syarikat (AS), akan kembali menganjurkan Malaysia Developers' Day (MDD) edisi ASEAN dari 27 hingga 28 Ogos ini bersempena acara KL Converge! 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Memasuki edisi ketiga penganjurannya, MDD akan menjadi sebahagian daripada tarikan utama KL Converge! 2015, acara yang berlatarkan platform digital dan industri kreatif.

KL Converge dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

MDD yang turut dianjurkan bersama oleh SKMM, dijangka menghimpunkan peserta daripada 10 negara ASEAN yang bakal berentap untuk mencipta aplikasi mudah alih dalam tempoh 24 jam.

Dengan tema 'Internet of Things - Penumpuan dan Keterangkuman Digital', kreativiti, inovasi serta daya ketahanan mental peserta bakal teruji apabila mereka dikehendaki untuk menyiapkan aplikasi mudah alih dalam tempoh yang ditetapkan selain memastikan aplikasi yang dicipta itu mempunyai nilai kebolehpasaran.

Untuk edisi MDD kali ini, dua kategori baharu akan dipertandingkan iaitu kategori Aplikasi Terbaik untuk Inovasi Media dan Aplikasi Terbaik untuk Gaya Hidup dan Hiburan manakala kategori Aplikasi Terbaik untuk Pembabitan Komuniti yang dipertandingkan pada tahun lalu, dikekalkan.

Pasukan yang berjaya mencipta aplikasi mudah alih terbaik untuk ketiga-tiga kategori itu berpeluang untuk memenangi wang tunai bernilai AS$1,000. Menariknya, para pemenang daripada ketiga-tiga kategori itu juga kemudian berpeluang membentangkan aplikasi mudah alih mereka pada majlis makan malam KL Converge! yang akan berlangsung pada 29 Ogos nanti bagi merebut hadiah utama bernilai ASD10,000.

Malaysia Developers' Day 2015 Edisi ASEAN ini akan berlangsung dari jam 9 pagi pada 27 Ogos hingga 5.30 petang pada 28 Ogos 2015.

Berita Harian X