Selasa, 2 Jun 2015 | 6:10pm

P8 tingkatkan pertaruhan Huawei dalam segmen telefon pintar

SINGAPURA: Huawei menetapkan standard yang lebih tinggi dalam pasaran telefon pintar dengan pelancaran ikon model eksklusif terbaharunya Huawei P8 untuk pasaran rantau ini.

Susulan itu, gergasi teknologi China terbabit mengumumkan Huawei P8 akan mula dipasarkan di Malaysia menjelang pertengahan bulan ini dengan pratempahan dibuka mulai hari ini hingga 17 Jun nanti.

Bagi pasaran Malaysia, P8 dipasarkan pada harga RM1,799 seunit manakala model peranti mudah alih lain yang akan turut ditawarkan termasuk Huawei P8lite, Huawei TalkBand B2 dan Huawei Watch.

Ketua Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu, berkata pasaran Asia Pasifik terbukti sangat penting kepada kumpulan, justeru pihaknya bersedia membawa peranti pintar itu ke pasaran serantau hanya selepas dua bulan pelancaran globalnya.

"Kumpulan menetapkan strategi pemasaran yang lebih fokus untuk pasaran Asia Pasifik khususnya Malaysia dalam usaha meningkatkan kesedaran jenamanya kepada 80 peratus menjelang 2016 berbanding 70 peratus kini," katanya ditemui pada Pameran dan Persidangan Teknologi B2B, CommunicAsia 2015 @ Singapore, di sini, hari ini.

Berita Harian X