Khamis, 2 April 2015 | 1:06pm

Samsung perkenal model terkini Galaxy S6, S6 Edge

DUA peranti telefon pintar baharu Samsung Galaxy S6 (RM2,599) (kanan) dan S6 Edge (RM3,099) dilancarkan di Malaysia, hari ini. - Foto AP
DUA peranti telefon pintar baharu Samsung Galaxy S6 (RM2,599) (kanan) dan S6 Edge (RM3,099) dilancarkan di Malaysia, hari ini. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics akan memperkenalkan telefon pintar terbaru Samsung Galaxy S6 dan S6 Edge ke pasaran tempatan mulai 17 April ini.

Ini menjadikan Malaysia antara pasaran pertama Asia Tenggara yang menerima kemasukan model berkenaan yang disasarkan kepada pengguna enterpris.

Presiden Samsung Malaysia Electronics, Lee Sang Hoon, berkata kedua-dua model yang meneruskan kelangsungan siri telefon pintar Galaxy S, memberikan hasil terbaik dari segi memaksimumkan produktiviti dan keselamatan pengguna.

"Galaxy S6 dan S6 Edge bersedia menyokong usaha perniagaan pengguna pada bila-bila masa dan di mana juga," katanya pada majlis pelancaran kedua-dua model berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sang Hoon berkata Samsung Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge menetapkan penanda aras baharu dari segi reka bentuk, kemasan dan prestasi.

Berikutan sambutan baik pengguna tempatan terhadap siri itu sebelum ini, beliau berkata Samsung memilih Malaysia untuk menyaksikan ketibaan dua telefon pintar berkuasa tinggi yang sukar ditandingi telefon pintar lain.

"Menerusi reka bentuk yang diilhamkan semula, disokong pula oleh rangkaian mantap rakan penyedia perkhidmatan, pengguna diberikan pengalaman terunggul bagi telefon pintar," katanya.

Ciri-ciri dipertingkatkan paling utama bagi kedua-dua model berkenaan adalah standard industri baharu bagi mengecas tanpa wayar.

Peralatan itu mampu berfungsi dengan mana-mana pad mengecas di pasaran yang menyokong standard WPC dan PMA.

Ia mengecas lebih pantas berbanding siri Galaxy S5, dengan menghasilkan masa penggunaan empat jam selepas hanya 10 minit dicas .

Kedua-dua model juga dilengkapi pengimbas resolusi tinggi kamera depan (5 megapiksel) dan kamera belakang (16 megapiksel).

Menambah kualitinya, kedua-dua telefon pintar dilengkapi dengan kaca paling teguh di pasaran ketika ini iaitu Corning Gorilla Glass 4.

Harga runcit bagi Samsung Galaxy S6 adalah RM2,599 manakala Samsung Galaxy S6 Edge RM3,099, termasuk enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan opsyen storan 16GB.

Harga runcit bagi pad mengecas pula adalah RM232.

Pilihan warna bagi Samsung Galaxy S6 adalah White Pearl, Black Sapphire, Gold Platinum dan Blue Topaz.

Samsung Galaxy S6 Edge pula ditawarkan dalam warna Green Emerald.

Pengguna boleh membuat pra tempahan Samsung Galaxy S6 dan Samsung Galaxy S6 Edge bermula 3 hingga 16 April di laman web Samsung.

Belian yang dibuat menerusi pra tempahan akan mendapat pad mengecas secara percuma, bergantung kepada stok.

Berita Harian X