Ahad, 14 Disember 2014 | 8:36am

Alcatel Onetouch pilihan tepat berselfie

Alcatel Onetouch berada di pasaran dengan jualan 1,000 unit pertama disertakan pemegang berselfie percuma. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Alcatel Onetouch berada di pasaran dengan jualan 1,000 unit pertama disertakan pemegang berselfie percuma. - Foto Nurul Shafina Jemenon

TCT Mobile Malaysia Sdn Bhd (TCT Mobile) melancarkan model terbaharu telefon pintar di bawah jenama Alcatel Onetouch bagi pasaran Malaysia, iaitu Alcatel Onetouch Flash.

Telefon pintar baharu itu dilengkapi kamera berprestasi tinggi iaitu kamera hadapan definisi tinggi (HD) penuh 5 megapixel dan kamera belakang HD penuh 13 megapixel serta mempunyai ciri penambah baik kecantikan pintar.

Ciri penambahbaikan itu menjadikan telefon pintar berkenaan pilihan terbaik kepada penggemar selfie kerana mereka tidak memerlukan aplikasi tambahan bagi mengedit foto kerana telefon itu sudah dipertingkatkan untuk memudahkan penggunaannya.

Pengurus Negara TCT Mobile Malaysia, KL Kong, berkata Alcatel Onetouch Flash akan berada di pasaran Semenanjung kelmarin, manakala di Sabah dan Sarawak esok.

Beliau berkata, model terbaharu itu dijual pada harga RM699 seunit yang dilengkapi penutup flip serta jaminan penjagaan skrin tambah nilai yang merangkumi penggantian skrin secara percuma (sekali saja) dalam tempoh 12 bulan selepas pembelian.

"Kami menawarkan promosi menarik dengan 1,000 unit pertama yang dijual, akan diberikan alat pemegang kamera untuk selfie secara percuma," katanya pada pelancaran model telefon pintar itu di Petaling Jaya baru-baru ini.

Jenama kelapan terkemuka

Kong berkata, TCT Mobile Malaysia berharap pelancaran Alcatel Onetouch Flash itu akan memantapkan lagi pertumbuhan jualan Alcatel di negara ini.

Beliau berkata, meskipun berdepan persekitaran mencabar, pihaknya yakin akan mencatatkan jualan yang baik bagi tahun ini.

"Dari segi prestasi, TCL-Alcatel kini menduduki tangga kelima di dunia dari segi penghantaran telefon pintar serta muncul buat pertama kali sebagai jenama telefon pintar kelapan terkemuka global.

"Kami juga muncul sebagai jenama kedua yang berkembang pantas dari segi penghantaran telefon pintar dan penguasaan pasaran dalam kalangan 10 jenama telefon pintar terkemuka dunia," katanya.

Kong berkata, pertumbuhan kukuh itu disumbangkan jualan telefon pintar di rantau Amerika, Eropah, Asia Barat dan Afrika.

Berita Harian X