Selasa, 21 March 2017 | 10:28pm

Layanan sama rata artis Malaysia, Indonesia

SESI sidang media Konsert Nova 2017 yang berlangsung di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
SESI sidang media Konsert Nova 2017 yang berlangsung di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

PETALING JAYA: Penganjur Konsert Nova 2017, yang menampilkan gabungan penyanyi popular Malaysia dan Indonesia, memberikan jaminan akan memberikan layanan sama rata kepada semua artis terbabit dalam persembahan berkenaan.

Konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam itu menampilkan penyanyi seperti Judika, Chakra Khan, Azlan & The Typewriter dan Dayang Nurfaizah

Pengarah Projek Suasana Enak Sdn Bhd yang juga pengarah konsert terbabit, Safia Jamil, berkata peluang sama rata akan diberikan terutama dari segi publisiti.

"Tiada istilah artis Malaysia akan dianaktirikan apabila adanya konsert gabungan seperti ini.

"Kita akan bawa artis Malaysia ke Indonesia untuk tujuan promosi dan di sana, kita akan melayan mereka sama seperti layanan diberikan kepada artis negara itu yang datang ke sini," katanya pada sidang media pelancaran Konsert Nova 2017 dan Digital Platform yang diadakan di Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Suasana Enak Sdn Bhd, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya dan Azlan.

Konsert sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dengan Indonesia itu bakal diadakan pada 5 Ogos depan.

Mengulas lanjut, Safia berkata penganjur juga akan menampilkan seorang lagi penyanyi utama dari Malaysia pada konsert itu nanti.

"Setakat ini, identiti penyanyi itu masih dirahsiakan dan kami akan meminta orang ramai untuk terus membuat tekaan.

"Siapa yang dapat meneka dengan tepat akan diberikan hadiah. Peraduan ini adalah antara strategi untuk menghangatkan lagi konsert," katanya.

Maklumat lanjut berhubung konsert itu, termasuk jualan tiket, boleh didapati dengan melayari laman web www.konsertnova.com atau mengikuti media sosial Konsert Nova di Facebook dan Instagram.

Berita Harian X