Rabu, 15 March 2017 | 9:38pm
GITARIS kumpulan Prime Domestic, Abdul Zamin Abdul Kadir ataupun dikenali sebagai Joe Wings. - Foto Khairul Azhar Ahmad
GITARIS kumpulan Prime Domestic, Abdul Zamin Abdul Kadir ataupun dikenali sebagai Joe Wings. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KUMPULAN Prime Domestic terdiri daripada penyanyi utama, Aweera (tengah), pemain drum, Ainoll (dari Kiri), gitaris, Hillary Ang, pemain bass, Gee & gitaris, Joe Wings. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KUMPULAN Prime Domestic terdiri daripada penyanyi utama, Aweera (tengah), pemain drum, Ainoll (dari Kiri), gitaris, Hillary Ang, pemain bass, Gee & gitaris, Joe Wings. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Joe enggan buka mulut kontroversi Wings

KUALA LUMPUR: Bekas pemain gitar utama Wings, Joe, enggan mendedahkan sama ada beliau mengundurkan diri atau disingkir daripada kumpulan itu, namun berharap rakan yang masih tinggal meneruskan legasi dicetuskan bersama.

Pemilik nama sebenar Abdul Zamin Abdul Kadir itu berkata, ketiadaannya bukan sesuatu yang pelik kerana pertukaran anggota sesebuah kumpulan sudah menjadi perkara biasa dalam industri muzik.

"Biarlah kami berempat saja yang tahu sebab dan puncanya. Apa pun yang berlaku, doakan persahabatan dan hubungan kami terus baik. Saya juga doakan rakan lain terus berjaya.

"Soal undur atau gugur, saya tetap kekal dengan prinsip enggan mengungkit cerita lama. Bagi saya, sejarah tidak boleh diubah dan terpulang kepada mereka untuk mencorakkan masa depan (kumpulan Wings) selepas ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media persembahan kumpulan baharunya, Prime Domestic, yang dijadualkan berlangsung di House, GTower pada 2 April depan.

Prime Domestic yang diasaskan pada 2011 bersama Hillary Ang, yang juga bekas pemain gitar Search, turut ditunjangi Syed Ahmad Fauzi selaku pemain bes, Ainul (dram) dan Aweera (vokalis).

Sebelum ini, desas-desus pengguguran Joe daripada Wings timbul selepas tempatnya digantikan seorang pemuzik undangan ketika konsert ambang tahun baharu di Melaka.

Kononnya, ia disebabkan beliau menjadi punca konsert sempena ulang tahun ke-30 kumpulan berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah, yang sepatutnya berlangsung pada 24 Disember 2016 lalu ditunda.

Susulan itu vokalis Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, ketika ditanya media baru-baru ini mengesahkan kumpulan rock yang ditubuhkan pada 1987 itu tinggal bertiga. Selain dirinya, Wings kini turut ditunjangi Black dan Eddie.

Diminta mengulas adakah beliau berjauh hati atau kecewa, akui Joe, pada usia hampir mencecah 50-an, beliau enggan bermasam muka mahu pun bergaduh dengan rakan yang sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri.

"Tidur saya kini juga menjadi lena. Hakikatnya, seakan satu beban diangkat apabila Awie mengumumkan saya undur diri. Saya reda. Anggap saja jodoh saya dan Wings tidak panjang. Tiada sesalan, gaduh mahupun dendam. Malu dengan anak-anak kami.

"Sekarang saya sudah bersama Prime Domestic, sekali gus tumpuan kini adalah persembahan sulung pada 2 April depan, disusuli penerbitan album," katanya lagi yang berharap peminat terus menyokong Wings dan juga kumpulannya.

Berita Harian X