Sabtu, 11 March 2017 | 12:09pm

Tawaran Prime Domestic ubati luka Aweera

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aweera menyifatkan tawaran menjadi vokalis kumpulan Prime Domestic yang dianggotai ramai pemuzik legenda ibarat rahmat di sebalik duka selepas melewati pelbagai episod pahit dan kontroversi.

Mengulas lanjut perkara itu, Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Noriyissham, 25, berkata tawaran itu juga diharap akan memberi sinar baharu terhadap kerjayanya sebagai penyanyi.

"Sepanjang menjadi artis, saya terpalit dengan pelbagai kontroversi. Bermula sebagai penyanyi solo, seterusnya menyertai kumpulan Mojo dan kembali solo, banyak pengalaman pahit serta manis yang saya lalui. Apabila tawaran ini datang, saya tidak mahu melepaskannya..

"Saya begitu menghargai kepercayaan yang diberikan kerana anggota kumpulan ini bukan calang-calang pemuzik. Siapa yang tidak kenal bekas anggota kumpulan Wings, Joe dan Hillary Ang? Terus-terang, apabila memikirkan reputasi mereka, perkara itu memberikan sedikit tekanan.

"Tetapi saya akan berusaha memberikan yang terbaik untuk kumpulan ini," katanya ketika dihubungi BH Online.

Menurut bekas peserta program realiti One In A Million musim ketiga ini, tawaran untuk menganggotai kumpulan itu tiba sekitar tahun lalu namun ketika itu, Aweera masih belum memberikan kata putus.

"Ketika tawaran datang, saya masih lagi terikat dengan syarikat rakaman Sony Music dan berhutang satu lagu. Hanya selepas kontrak saya tamat dan merakamkan single terakhir, Wanita Cinta Teragung, baru saya menerima tawaran itu.

"Walaupun terikat sebagai vokalis, saya tetap diberi kelonggaran untuk bergerak secara solo. Cuma pesan mereka, komitmen terhadap Prime Domestic harus diutamakan," jelasnya.

Selain Aweera, Joe dan Hillary selaku pemain gitar, Prime Domestic turut disertai Gee (bekas anggota kumpulan NRG) sebagai pemain bass, manakala Ainoll yang juga bekas anggota kumpulan Kristal bertindak sebagai pemain dram.

Prime Domestic akan mengadakan showcase di House@G Tower, Kuala Lumpur jam 10.30 malam pada 2 April ini. Showcase yang dibawakan khas oleh Anggerik Event Sdn Bhd itu bakal menyaksikan Aweera menyanyikan secara eksklusif lagu terbaharu kumpulan itu yang kini dalam proses rakaman.

Berita Harian X