Selasa, 28 Februari 2017 | 8:14pm

Wings tinggal bertiga

WINGS ketika menghadiri majlis sidang media konsert sempena 30 tahun mereka yang sepatutnya diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, tahun lalu. - Foto Zulfadhli Zulkifli
WINGS ketika menghadiri majlis sidang media konsert sempena 30 tahun mereka yang sepatutnya diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, tahun lalu. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Wings mengesahkan kumpulan rock itu kini tinggal bertiga apabila pemain gitar utama mereka, Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, mengundurkan diri.

Vokalisnya, Awie, berkata keputusan itu diambil secara pemuafakatan selepas perbincangan bersama semua anggota Wings, beberapa bulan lalu.

"Kami tidak melihat perkara ini sebagai isu besar kerana dalam sesebuah kumpulan, memang ada ahli yang keluar masuk. Saya dan Black juga pernah keluar dan kemudian kami kembali bersama.

"Bagi kami, Joe hanya pemuzik dan di luar sana ramai lagi pemain muzik yang bagus. Lagi pun kumpulan ini kuat kerana ia adalah Wings, bukan atas kapasiti individu.

Vokalis Wings, Awie.
Vokalis Wings, Awie.

"Sesiapa pun boleh membawakan muzik Wings andai seorang daripada kami tiada," katanya pada sidang media Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama, di Istana Budaya, hari ini.

Begitupun, pemilik nama penuh Datuk Ahmad Azhar Othman itu menegaskan, mereka sepakat untuk tidak mengambil anggota baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Joe.

Selain Awie, kumpulan rock popular yang ditubuhkan pada 1987 itu kini turut ditunjangi Black selaku pemain dram dan Eddie (gitar bes).

Sebelum itu, desas-desus pengguguran Joe daripada Wings timbul selepas tempatnya digantikan pemuzik undangan ketika konsert ambang tahun baharu di Melaka.

Joe
Joe

Kononnya, ia disebabkan beliau menjadi punca konsert sempena ulang tahun ke-30 Wings di Kota Kinabalu, Sabah, yang sepatutnya berlangsung pada 24 Disember 2016 lalu ditunda.

Awie bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengunduran rakannya itu kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak, selain memaklumkan Joe kini mempunyai kumpulan sendiri dinamakan Prime Domestic.

Sementara itu, pada Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama di Istana Budaya pada 6 hingga 9 April depan, mereka akan turut menggunakan khidmat pemain gitar utama undangan.

Konsert yang turut menampilkan 25 selebriti popular lain termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Ito, Liza Hanim dan Beto Kusyairy itu bermatlamat membantu teman artis seperti Yazid Search dan ramai lagi.

Berita Harian X