Khamis, 12 Januari 2017 | 8:48pm

Sahara kekal imej rambut keriting dalam persembahan

 Sahara Yaacob bertegas akan terus kekal dengan imej rambut keriting palsu ketika menjayakan persembahan pentas.- Foto Zunnur Al Shafiq
Sahara Yaacob bertegas akan terus kekal dengan imej rambut keriting palsu ketika menjayakan persembahan pentas.- Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sahara Yaacob, bertegas akan terus kekal dengan imej rambut keriting palsu ketika menjayakan persembahan pentas.

Sahara yang mendapat jolokon Tina Turner Malaysia sebelum ini berkata, meskipun sudah berselendang, beliau mahu kemunculan semulanya sebagai penyanyi kekal dengan imej lama, kerana gaya seperti itu membuatkan beliau lebih menjiwai lagu dipersembahkan.

"Apabila di atas pentas, saya akan terus menjadi Sahara Yaacob. Saya yang mencipta imej Sahara sebelum ini dan itulah saya apabila di atas pentas.

"Ia mengingatkan kebahagiaan dan penderitaan saya pada zaman era kegemilangan saya sebelum ini, sekali gus menyuntik karakter saya yang berbeza.

"Peminat pun mahu melihat saya dengan imej lama. Kemunculan saya pada Anugerah Melodi, baru-baru ini, menunjukkan peminat masih mahukan saya yang dulu," katanya kepada BH Online.

Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob berkata demikian bagi mengulas mengenai imej sebenar dirinya sejak beliau membuat kemunculan semula menerusi Anugerah Melodi yang berlangsung Disember lalu.

Bagaimanapun tambah Sahara, yang akan genap usia 60 tahun esok, beliau akan berimej selendang seperti biasa apabila tidak mengadakan persembahan nyanyian.

Pada masa sama Sahara turut berharap masyarakat dapat menerima cara dan imejnya itu dengan hati terbuka.

"Apabila keluar daripada suasana nyanyian, saya akan berubah karakter dan menjalani kehidupan biasa. Imej saya pun seperti yang semua dapat lihat sebelum ini, iaitu berselendang.

"Saya harap agar ia tidak menjadi bualan negatif di kalangan orang ramai," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Sahara bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Tangisan Marhain di bawah terbitan Universal Music.

Berita Harian X