Jumaat, 9 Disember 2016 | 5:38pm
SAHARA Yaacob. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SAHARA Yaacob. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sahara Yaacob beraksi pada Anugerah Melodi 2016

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun meninggalkan dunia seni, penyanyi kontroversi era 1980-an, Sahara Yaacob akan membuat persembahan pada Anugerah Melodi 2016, malam esok.

Sahara yang mendapat jolokon Tina Turner Malaysia pada era kegemilangannya, teruja kembali ke pentas dan membina semula hidup selepas penderitaannya yang tinggal dalam bilik stor dalam serba kekurangan, didedahkan BH, Julai lalu.

Memberitahu BH Online, Sahara atau nama sebenarnya, Zaharah Mohd Yaacob berkata, doanya untuk aktif semula dan mencari rezeki daripada nyanyian, akhirnya dimakbulkan.

"Kak Sara ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang memberi sokongan dan pertolongan sehingga Kak Sara kembali yakin untuk membuat persembahan seperti dulu.

"Terutamanya kepada akhbar BH Kerana memberi sokongan sepenuhnya kepada Kak Sara. Jasa baik BH amat Kak Sara hargai," katanya.

Rentetan daripada pendedahan BH, Sahara mendapat pembelaan pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberi kediaman selesa untuk didiami penyanyi itu di Sungai Besi, di sini.

Sahara berkata, jika mahu disenaraikan, terlalu ramai individu yang mahu diberi penghargaan atas bantuan dan semangat untuk dirinya bangkit semula.

"Tak lupa kepada orang persendirian, teman lama, saudara-mara, ahli politik, pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan.

"Juga kepada semua persatuan artis yang berdaftar atas sumbangan supaya Kak Sara dapat berdiri semula dan kembali memeriahkan persada seni.

"Tidak lupa kepada Timbalan Presiden Artis Veteran Malaysia, Datuk Tommie dan rakan media yang selama ini tak pernah putus memberi sokongan padu," katanya.

Mula berlatih untuk persembahan sulungnya malam esok, Sahara bagaimanapun memohon supaya penampilan dirinya tidak diadili netizen dengan pantas.

"Saya harap dalam soal penampilan, saya masih diberi kebebasan," katanya yang akan mendendangkan lagu Peronda Jaket Biru pada acara itu.

Anugerah Melodi 2016 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 9 malam esok.

Anugerah Melodi 2016 mempertandingkan 10 kategori di mana pemenang ditentukan 100 peratus daripada undian peminat melalui laman sesawang www.anugerahmelodi.com.my.

Menghangatkan lagi acara itu, program Dari Bilik Sebelah diterbitkan Studio 8 bagi memaparkan maklumat menarik berhubung anugerah itu.

Dari Bilik Sebelah boleh ditonton di Youtube rasmi TV3 Malaysia.

Hunny Madu, Ain Edruce, Haziq Hot FM dan blogger terkenal, Budiey antara pengacara yang ditampilkan dalam program itu.

Berita Harian X