Rabu, 7 Disember 2016 | 3:48pm

Johan As'ari belum luah hasrat hati

Johan As'ari.
Johan As'ari.

KUALA LUMPUR: Sejak mula terjun dalam dunia seni, Johan As'ari sering dilabel aktor 'cinta lokasi' kerana cenderungnya menjalin hubungan dengan teman gandingan dalam projek drama mahupun filem.

Meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-30, baru-baru ini, sekali lagi, Johan mengaku sudah jatuh hati dengan seorang pelakon wanita, namun belum bersedia memberitahu siapa calon pilihan hatinya.

Mengaku mengutip banyak pengalaman dalam bercinta, Johan memberitahu, dia kini lebih matang dan berfikiran terbuka dalam soal jodoh dan perkahwinan.

Jauh di sudut hatinya, Johan memberitahu BH Online, dia berharap jodohnya dipercepatkan.

"Saya sedang mengenali hati budi seseorang tetapi belum sampai lagi ke fasa lebih serius. Kami masih berkawan. Untuk melangkah ke alam perkahwinan, saya percaya dua hati kena bersatu. Perlu ada perasaan suka sama suka... Itu barulah jodoh.

"Gadis ini adalah seorang pelakon yang saya kenali dua tahun lalu. Saya tidak boleh berkongsi lanjut mengenai hal ini kerana perlu menjaga batasan dan menghormati status kami sebagai kawan.

"Ini kerana dia masih belum terbuka pintu hati lagi. Jadi, saya tidak mahu bertepuk sebelah tangan," katanya.

Johan mengaku berkawan dengan ramai orang tetapi hanya rapat dengan gadis terbabit.

"Saya lihat dia seorang yang pendiam dan sentiasa merendah diri walaupun menghadiri majlis besar. Saya tidak kisah kalau kami tidak berhubung seminggu atau dua tetapi bila dia ada masalah, saya akan memberinya semangat," katanya yang mengaku belum meluahkan hasrat hati kepada gadis terbabit.

Berita Harian X