Sabtu, 26 November 2016 | 1:33pm
DATUK Siti Nurhaliza mengambil gambar selfie bersama peminat. - Foto Ghazali Kori
DATUK Siti Nurhaliza mengambil gambar selfie bersama peminat. - Foto Ghazali Kori

Siti Nurhaliza kongsi tip selfie

PENYANYI tersohor, Datuk Siti Nurhaliza suka berselfie. - Foto Ghazali Kori
PENYANYI tersohor, Datuk Siti Nurhaliza suka berselfie. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Semua orang tahu, penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza suka berselfie.

Lantas, pemilihan Siti sebagai duta pertama bagi model telefon pintar, Vivo V5 dengan jolokan 'Perfect Selfie' untuk pasaran tempatan dianggap tepat sekali.

Mengikat kontrak selama setahun, Siti ada alasan tersendiri menerima tawaran Vivo Malaysia.

"Siti memang suka selfie dan telefon pintar ini melengkapi kehendak. Kelebihan kamera depa 20 megapiksel memang sesuai untuk mereka yang gemar merakamkan aksi selfie.

"Gajet ini juga dilengkapi pengcahayaan lembut dan perisian fotografi canggih yang membolehkan gambar dirakam dalam gelap. Ketika mencubanya, Siti terkejut dengan kualiti telefon pintar ini... Rasa macam jatuh hati pandang pertama dengan V (merujuk kepada Vivo V5)," katanya.

Mengulas mengenai hobinya berselfie, Siti berkata:

"Siti melihat selfie daripada sudut positif. Janganlah sampai dekat tengah jalan hendak berselfie kerana boleh mengundang bahaya. Bagi Siti, baik buruk selfie ini bergantung kepada dirii sendiri dan apa yang kita mahu tonjolkan.

"Selalunya, kalau pergi sesuatu tempat di mana kita suka senarionya dan kebetulan tidak ada kawan, selfie menjadi pilihan Siti... Tak perlu susahkan sesiapa.

"Memang selama ini, selfie menjadi medium terbaik mendekatkan Siti dengan peminat menerusi laman sosial termasuk Instagram," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti memberitahu, program realiti, CTDKation membabitkan 10 episod dijangka ditayangkan, Januari depan. Program itu antara lain mengajak penonton mengikuti pengalaman Siti bercuti bersama keluarga di Portugal, Sepanyol dan Dubai.

Siti juga akan menjalani penggambaran klip video lagu duet bersama Faizal Tahir, Digarhayu, tidak lama lagi. Persediaan untuk projek rakaman album terbaharu Siti juga giat dilakukan tenaga produksi.

Berita Harian X