Khamis, 20 Oktober 2016 | 5:55pm

Kamil Othman Timbalan Presiden AFCNet

KETUA Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KETUA Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman. - Foto Hasriyasyah Sabudin

BUSAN: Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, sekali lagi dipilih memegang jawatan Timbalan Presiden Asian Film Commissions Network (AFCNet) bagi penggal 2016-2018.

Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung AFCNet di Busan Film Commission, Korea Selatan, sekali gus membuktikan Kamil mempunyai kepemimpinan yang utuh dalam membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menerusi ucapannya, Kamil bersyukur apabila mendapat sokongan penuh daripada ahli kerana ia memperlihatkan kepentingan AFCNet dalam memudahkan perkongsian maklumat kepada 59 suruhanjaya perfileman dan agensi kerajaan dari 18 negara.

Selain itu, ia juga memudahkan perkongsian informasi berkaitan lokasi penggambaran, peraturan, insentif dan pelepasan syarat di Asia serta sokongan daripada ahli anggota organisasi untuk berkomunikasi dengan produksi luar.

"Dalam melalui era sinema 'on the go', teknologi memainkan peranan penting dalam penghasilan isi kandungan.

"Kita bagaimanapun tidak boleh lupa plot penceritaan adalah aspek yang boleh diperluaskan kepada pembelajaran, latihan, pendidikan dan kejuruteraan sosial," katanya.

Dalam pada itu, kata Kamil, industri kandungan kreatif Malaysia kini lebih bersifat global sejak beberapa tahun lalu.

"Malaysia kini aktif dalam organisasi yang bukan berasaskan keuntungan berkaitan dengan perfileman antarabangsa.

"Kerjasama yang terjalin antara FINAS dengan pihak antarabangsa menjadi medan buat perkembangan industri perfileman tempatan, apabila pelabur asing berpotensi tinggi dapat dibawa masuk menerusi hubungan baik itu.

"Menerusi kerjasama itu juga ia dapat menjalinkan kolaborasi antara produk tempatan dan luar negara," ujarnya.

Berita Harian X