Khamis, 13 Oktober 2016 | 5:46pm

Patung lilin tak berbaju Bieber dipamer di London

PATUNG lilin Bieber di Madame Tussauds London.
PATUNG lilin Bieber di Madame Tussauds London.

SEPERTI kebanyakan bintang tersohor lain, Justin Bieber turut mempunyai patung lilin dirinya di muzium Madame Tussauds di beberapa lokasi tumpuan pelancong di dunia.

Terbaharu, bintang sensasi berkenaan diberikan penghargaan dengan sebuah lagi patung lilin dirinya yang tidak berbaju di Madame Tussauds London.

Sebelum itu, artis kelahiran Kanada berkenaan sudah pun mempunyai patung lilin sedemikian di Las Vegas, sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-22.

Bukan sekadar menayangkan sebahagian badannya, malah patung terbabit juga lengkap dengan kesan khas curahan hujan selain berlatarkan muzik Sorry dendangannya bagi menghiburkan pengunjung.

Patung terbabit seakan-akan memberikan gambaran Bieber ingin mempersembahkan lagu popularnya itu pada konsert siri jelajahnya.

Sekali gus, selain menjamu mata mereka yang berkunjung ke Madame Tussauds, peminat yang terlepas konsert jelajah penyanyi yang popular dengan lagu What Do You Mean? itu sedikit sebanyak dapat merasai suasana pada persembahan berkenaan.

Ketika ini, siri jelajah dunia ketiga Bieber, Purpose World Tour, yang diadakan sempena kemunculan album Purpose, tahun lalu, masih berlangsung sejak dimulakan pada Mac lalu. Ia hanya dijadualkan berakhir pada Mac tahun depan.

Berita Harian X