Jumaat, 19 Ogos 2016 | 3:31pm

Aishah Ilias jarang di laman sosial

Siti Aishah Ilias.
Siti Aishah Ilias.

KUALA LUMPUR: Saat ramai selebriti menggunakan Instagram, Twitter dan Facebook sebagai perantara dengan peminat masing-masing selain berkongsi perkembangan terbaharu dalam kerjaya, pelakon Aishah Ilias pula mengambil pendekatan untuk tidak terlalu aktif di mana-mana laman sosial.

Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Ilias, 29, berkata, beliau jarang menghabiskan masanya di media sosial, sebaliknya lebih mengutamakan aktiviti harian bersama keluarga dan rakan.

"Saya tidak terlalu aktif di media sosial seperti kebanyakan orang kerana keutamaan saya lebih kepada keluarga dan teman-teman rapat.

"Berikutan itu juga saya tidak mempunyai kelab peminat. Selain jarang berinteraksi dengan peminat di laman sosial, saya juga sukar untuk memberikan komitmen sepenuhnya jika mempunyai kelab peminat," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Aishah turut mendedahkan beliau lebih mementingkan privasi sehingga kerap berjalan atau membeli-belah bersendirian.

"Saya sukakan privasi dan menghabiskan masa sendirian. Pergi membeli barang-barang dapur atau berjalan pun seorang diri.

"Sampaikan pernah sekali, saya keluar berbaju kelawar. Apabila orang pandang dan secara spontan menegur penampilan, baru saya sedar, walaupun sendirian, kita dikelilingi masyarakat. Apatah lagi orang kenal kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aishah kini sedang menjalani penggambaran drama Nasi Minyak Kuah Cinta untuk siaran TV3.

Sebelum ini, beliau pernah terbabit menerusi drama bersiri 176 episod, Cinta Ibadah, bersama Fattah Amin.

Berita Harian X