Sabtu, 28 Mei 2016 | 3:31pm

Hey Orang Kita kupas realiti hidup anak muda

FILEM televisyen berjudul Hey Orang Kita menampilkan bakat-bakat baharu iaitu (dari kiri) Raja Syahiran, Christian B Palencia, Zara Kahan (pengarah), Talitha Tan dan Takahara Suiko.
FILEM televisyen berjudul Hey Orang Kita menampilkan bakat-bakat baharu iaitu (dari kiri) Raja Syahiran, Christian B Palencia, Zara Kahan (pengarah), Talitha Tan dan Takahara Suiko.

KUALA LUMPUR: Dilema hidup dan pelbagai isu yang menyelubungi generasi muda tempatan yang jarang dikupas melatari penerbitan filem televisyen (FTV) muzikal arahan Zara Kahan, Hey Orang Kita.

Memaparkan jerih perih empat anak muda mengharungi liku kehidupan di ibu kota, Hey Orang Kita juga mengungkap bagaimana mereka berusaha meloloskan diri daripada benteng dan kepompong masalah masing-masing.

Zara berkata, isu yang melingkari generasi muda yang tanpa sedar membawa mereka terjerumus dalam pelbagai masalah sosial jarang diberi perhatian oleh produksi tempatan membuatnya dirinya terpanggil untuk menyahut cabaran itu.

"Memandangkan isu yang dibawakan dalam FTV ini serius, elemen muzikal diterapkan untuk menarikan perhatian umum supaya menghayati mesej yang cuba disampaikan," katanya.

Menurutnya, Hey Orang Kita bukan sekadar drama muzikal semata-mata, sebaliknya ia adalah rangkuman ceritera kehidupan yang memberi inspirasi kepada golongan muda supaya tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan biarpun dirundung pelbagai dugaan.

"Ia karya pertama saya untuk FTV dan pastinya, saya tidak mahu menyajikan hiburan tanpa pengisian jalan cerita yang baik. Saya cuba mengimbangi antara penceritaan dan muzikal supaya ia bergerak seiring kerana tidak mahu menyajikan penonton hiburan kosong semata-mata," katanya.

Membawakan tema, Bila Lagi Nak Lawan Balik, Hey Orang Kita mengisahkan kehidupan empat anak muda iaitu Hassan, Lilian, Hartini dan Clayton yang berhijrah ke Kuala Lumpur dalam usaha keluar daripada kancah masalah kehidupan yang mereka hadapi.

Keempat-empat mereka datang daripada latar belakang berbeza, namun berkongsi banyak persamaan iaitu memiliki semangat yang tinggi, naif dan berusaha mencari diri yang sebenar. Pelbagai rintangan mereka lalui, bermula konflik keluarga hingga terbabit dalam kancah sosial masyarakat, namun setiap dugaan ditempuhi dengan tabah.

Hey Orang Kita turut menyaksikan pembabitan penyanyi dan komposer terkenal, Loque yang bertanggungjawab menghasilkan dan menggubah lagu yang ditampilkan dalam FTV itu.

Antara lagu yang melatari Hey Orang Kita adalah nyanyian asal Hujan, Pagi Yang Gelap dan Untukmu, lagu malar segar yang pernah dipopularkan kumpulan Feminin.

Lebih istimewa, Hey Orang Kita turut menampilkan penyanyi terkenal, Awi Rafael yang menyumbang suara dalam runut bunyi yang menggunakan judul yang sama.

FTV lakonan Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian B Palencia dan Takahara Suiko akan mula ditayangkan di Astro First Eksklusif, saluran 480 bermula 19 Mei ini.

Berita Harian X