Jumaat, 1 April 2016 | 11:29pm

Fathia reda kontrak tak disambung selepas berhijab

PELAKON popular, Nur Fathia Abdul Latiff. - Sumber Instagram
PELAKON popular, Nur Fathia Abdul Latiff. - Sumber Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Nur Fathia Abdul Latiff, 28, mengakui sudah lama berhasrat menutup aurat, malah sejak tahun lalu, dirinya kerap tampil bertudung.

Bagaimanapun, keyakinan dan hidayah yang hadir sejak dua hari lalu membuatkan hatinya nekad untuk meneruskan hajat yang pernah tertangguh.

"Saya bersyukur diberikan Allah hidayah ketika usia masih muda. Perasaan untuk berhijab hadir secara tiba-tiba, bukan atas paksaan sesiapa atau kerana mengikut aliran apabila semakin ramai artis wanita menutup aurat.

"Jujurnya, saya mula bertudung sebelum menjalani penggambaran sebuah drama di New York lagi. Ketika itu, hati saya tergerak untuk memulakan penghijrahan, tetapi saya harus melakukannya secara perlahan-lahan. Alhamdulillah, sejak dua hari lalu, saya sudah bertudung sepenuhnya," katanya.

Pelakon yang melonjak namanya menerusi drama Ariana Rose dan Dia Isteri Luar Biasa itu akur, banyak pengorbanan yang harus dilakukan selepas dirinya berhijab.

Bagaimanapun, dia percaya pada rezeki yang ditentukan Tuhan.

"Saya mempunyai kontrak sebagai duta dengan beberapa syarikat. Jika ada rezeki dan penampilan baharu saya diterima, insya-Allah kontrak itu akan disambung.

"Jika tiada rezeki, saya percaya Tuhan akan hadirkan sesuatu yang lebih baik nanti.

"Saya juga mungkin terpaksa menolak tawaran berlakon beberapa drama kerana imej baharu ini. Saya tidak kisah, namun untuk membuka tudung mungkin tidak sesekali," katanya.

Fathia berkata, berkat penghijrahannya, dia sudah diberikan rezeki yang lain. Dia akan memulakan perniagaan tidak lama lagi.

"Saya tidak sangka selepas menolak rezeki berlakon kerana penerbit meminta supaya tidak bertudung, saya dibukakan pintu untuk memasuki dunia perniagaan.

"Saya akan membuka bisnes pakaian tidak lama lagi. Rezeki ini hadir selepas saya berniat untuk bertudung sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X