Ahad, 20 March 2016 | 10:10pm

Saharul selesa di sisi Janna Nick

JANNA Nick (kiri) dan Saharul Ridzwan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
JANNA Nick (kiri) dan Saharul Ridzwan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Selepas melakar kejayaan sebagai Pasangan Pilihan menerusi drama Kau Aku Kita pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi, Saharul Ridzwan dan Janna Nick mungkin akan berpasangan lagi selepas ini.

Saharul yang turut diumumkan sebagai Aktor Pilihan berkata, jika tiada aral melintang, beliau dan Janna akan dipasangkan semula untuk sebuah drama TV.

"Sebenarnya, ada lagi tawaran yang ingin menggandingkan kami bersama yang datang ketika saya dan Janna masih menjalani penggambaran drama Kau Aku Kita. Mereka turut meminta kami menetapkan jadual masing-masing untuk penggambaran.

"Apa pun yang pasti, kami akan terbabit dengan penggambaran telefilem Kau Aku Kita versi raya pula pada Mei depan, bersama JS Pictures," katanya yang ketika ini masih melunaskan baki penggambaran drama Seindah Takdir Cinta di samping Amyra Rosli dan Redza Rosli.

PEMENANG Anugerah Pasangan Pilihan, Janna Nick (kiri) dan Saharul Ridzwan (dua dari kanan) pada Malam Anugerah DFKL 2016C. - Foto Adi Safri
PEMENANG Anugerah Pasangan Pilihan, Janna Nick (kiri) dan Saharul Ridzwan (dua dari kanan) pada Malam Anugerah DFKL 2016C. - Foto Adi Safri

Menurut Saharul, beliau memang menyenangi Janna, yang menyerlah menerusi Syurga Nur, sebagai rakan gandingan di lokasi.

"Dia seorang pelakon muda yang berbakat dan bijak. Kami boleh bertolak ansur dan berbincang ketika berlakon bersama.

"Ketika menjayakan penggambaran drama Kau Aku Kita, kami sentiasa berunding untuk memberikan keserasian yang baik," katanya.

Mengenai kejayaannya pada DFKL 2016, Saharul berkata, beliau langsung tidak menjangkakan kejayaan itu. Bagaimanapun, selepas hampir empat tahun berlakon, kemenangan pada anugerah berkenaan menjadi penyuntik semangat buatnya.

"Ketika berada di pentas untuk menerima anugerah Aktor Pilihan dan memberikan ucapan, saya langsung tidak bersedia hingga kelam-kabut jadinya. Saya berucap sesuka hati saja. Saya juga terlepas untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sepatutnya.

"Hanya ketika menerima anugerah Pasangan Pilihan bersama Janna, barulah saya dapat mengambil sedikit ruang untuk berterima kasih kepada semua termasuk kelab peminat, Saharul Ridzwan Official FC," katanya.

Selain memenangi kategori Aktres Pilihan, Aktor Pilihan, Pasangan Pilihan, Kau Aku Kita turut memenangi kategori Drama Pilihan, Pengarah Pilihan dan Skrip Pilihan.

Berita Harian X