Rabu, 16 March 2016 | 4:06pm

Izreen kembali berendam air mata

IZREEN Azminda. - Foto Rohainis Shukri
IZREEN Azminda. - Foto Rohainis Shukri

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun asyik memainkan watak ringan dan komedi, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Drama Anugerah Skrin 2013, Izreen Azminda kembali diberikan peranan air mata menerusi telefilem Perempuan Itu.

Drama berkenaan juga menyaksikan Izreen bergandingan dengan Zizan Nin buat kali ketiga. Sebelum ini mereka pernah berlakon bersama dalam telefilem Mendongak Ke Langit dan Mimi Mencari Cinta.

"Sudah lama juga saya tidak mendapat watak berat seperti ini. Justeru saya amat bersyukur apabila kembali diberikan karakter yang memerlukan saya bermain dengan emosi dalaman dan ia memang antara kesukaan saya.

"Begitupun, sesekali bertukar corak lakonan pun bagus juga. Jadi, tidaklah saya asyik muncul dengan watak sama saja," kata calon awal Pelakon TV Wanita Popular dan Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29.

Bergandingan dengan Zizan juga bukanlah masalah bagi Izreen.

"Dia (Zizan) memang nampak serius orangnya, tetapi sebenarnya dia juga terkenal dengan sikap 'gila-gila'. Cuma, dengan apa yang dilaluinya kini (selepas bercerai dengan Fazilah Hani Harun), saya bagai dapat rasa dalamannya belum baik sepenuhnya.

"Saya sendiri pernah melalui fasa yang sama sepertinya, sebelum ini. Cuma, dia pandai sembunyikan semua itu di lokasi penggambaran.

"Tambahan pula, dia lebih berpengalaman dalam dunia seni. Saya lihat dirinya memang nampak gembira, tetapi dalam hatinya siapa tahu? Saya sendiri pun tidak bertanya apa-apa mengenai hal itu kepadanya. Kami sebaliknya lebih mengutamakan hal profesional," katanya.

Mengenai telefilem Perempuan Itu, Izreen memberitahu dirinya dan Zizan disatukan sebagai pasangan suami isteri.

"Dalam telefilem ini, Zizan asalnya bekerja kilang dan hidup kami berdua serba tidak cukup. Hinggalah suatu hari, dia dapat tawaran kerja di Kuala Lumpur. Namun, ada insiden buruk terjadi hingga saya diceraikan olehnya. Tanpa disedari, saya juga sudah mengandungkan anaknya selepas diceraikan," katanya.

Telefilem yang pada asalnya diberi judul Pada Syurga Di Wajahmu itu diarahkan oleh Raja Mukhriz dan dijangka bersiaran menerusi TV3 dalam masa terdekat.

Berita Harian X