Khamis, 3 March 2016 | 9:50am

Madonna, Ritchie digesa selesai isu penjagaan anak

PENYANYI popular Amerika Syarikat, Madonna, dan bekas suaminya, Guy Ritchie
PENYANYI popular Amerika Syarikat, Madonna, dan bekas suaminya, Guy Ritchie

NEW YORK: Penyanyi popular Amerika Syarikat, Madonna, dan bekas suaminya, Guy Ritchie, diminta memikirkan kebajikan anak lelaki mereka yang berusia 15 tahun dan menamatkan segera perbalahan mengenai hak penjagaan remaja itu.

Hakim Mahkamah Agung negeri, Deborah Kaplan, menyarankan penyanyi dan pengarah yang sudah bercerai itu menyelesaikan masalah terbabit sehari selepas peguam masing-masing berkata perjanjian yang dicapai lewat Selasa lalu gagal dilaksanakan.

"Tiada perkara yang mengganggu budak itu selain ketidakupayaan ibu bapanya mencari penyelesaian.

"Jika mereka tidak boleh berbuat demikian, mahkamah akan melakukannya," kata Kaplan.

Peguam kepada Rocco Ritchie yang dilantik mahkamah, Ellen Sigal, berkata anak guamnya tertekan memikirkan masa depannya sejak meninggalkan siri konsert jelajah dunia ibunya untuk menetap bersama Ritchie di London dan bersekolah di bandar raya itu.

"Ia adalah saat amat sukar kepadanya. Kami harap untuk menamatkan perbalahan ini dengan segera tanpa mendedahkan beliau kepada tekanan dan seumpamanya," kata Sigal di mahkamah.

Pada Disember lalu, Kaplan mengarahkan Rocco dikembalikan ke dalam penjagaan ibunya. Madonna dan Ritchie bercerai di New York pada tahun 2008. - AP

Berita Harian X