Rabu, 28 Oktober 2015 | 3:03pm

Johan As'ari tidak serik bercinta sesama artis

PELAKON Johan As'ari.
PELAKON Johan As'ari.

KUALA LUMPUR : Pelakon Johan As'ari, 29, menegaskan beliau tidak serik bercinta sesama artis dan menyerahkan soal jodohnya kepada Tuhan.

Johan berkata, hubungan cinta bersama beberapa rakan artis kecundang di tengah jalan dijadikan iktibar dan pengajaran untuk masa akan datang.

"Saya tidak akan serik untuk bercinta sesama artis seandainya ditakdirkan untuk berkahwin dengan rakan seperjuangan. Siapa saya untuk menolak suratan takdir? Saya menerima dengan hati terbuka walau siapa pun jodoh saya.

"Kisah lalu akan saya jadikan pedoman bagi memperbaiki diri saya ke arah yang lebih baik. Namun buat masa ini fokus saya hanya kepada kerjaya seni semata-mata," katanya kepada BH Online.

Menyentuh soal lakonan, Johan menjelaskan beliau tidak meletakkan syarat tidak bersentuhan dengan gandingan ketika penggambaran biarpun baru pulang mendalami ilmu agama selama tiga bulan di India dan Bangladesh.

Katanya, beliau masih seperti dahulu biarpun ada pihak yang menganggap dirinya sudah berubah secara drastik.

"Saya menghormati keputusan pelakon-pelakon meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan kerana ia adalah sesuatu yang bagus dan mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Bagi saya selagi babak itu tidak keterlaluan, boleh diterima dan tidak menjengkelkan, saya akan melakonkan sebaik mungkin.

"Lagi pula kita ada sesi perbincangan dengan pengarah untuk menjayakan sesuatu babak dan dari situ juga kita boleh berbincang untuk kurangkan apa yang tidak sepatutnya," katanya.

Berita Harian X