Ahad, 25 Oktober 2015 | 9:57am

Sharifah Haslinda minta izin suami sebelum berlakon semula

SHARIFAH Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican.
SHARIFAH Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican.

KUALA LUMPUR: Lebih sedekad tidak muncul di arena lakonan, Sharifah Haslinda yang juga kakak kepada Sharifah Sakinah baru-baru ini muncul dalam Dhia Sofea menghiasi slot Samarinda TV3. Drama itu arahan Rashid Sibir dan diterbitkan sebanyak 15 episod. Ia mula bersiaran sejak 14 Oktober lalu setiap Rabu dan Khamis jam 10 malam.

Drama itu diterajui Amyra Rosli dan Fadlan Hazim. Sharifah Haslinda memegang watak antagonis bernama Dolly. Ironinya, Sharifah Haslinda dengan Rashid Sibir bukan asing lagi kerana pengarah berkenaan pernah mengarahkan drama Salina dilakonkannya dan pernah mencipta fenomena tersendiri di TV3.

Ditanya kenapa akhirnya dia terbuka hati untuk berlakon semula, Sharifah Haslinda menjelaskan semuanya terjadi dengan izin suaminya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican .

"Minat berlakon itu tak pernah padam. Cuma kadang-kadang situasi dan keadaan membuatkan saya berfikir panjang. Macam sebelum ini tumpuan lebih keluarga. Untuk drama Dhia Sofea ini pun tercetus selepas Rashid mahu saya kembali berlakon dengannya. Saya cakap kepada Rashid, dia kena tanya izin suami dulu.

"Dipendekkan cerita sebelum penggambaran, saya temukan suami dan Rashid di sebuah restoran di KLCC. Malahan ketika itu, saya sendiri memperkenalkan Rashid sebagai pengarah drama Salina. Drama berkenaan memang diminatinya. Tetapi lucunya, suami saya mempersoalkan kenapa perlu diberikan watak jahat kepada saya untuk drama terbaru ini.

"Selepas diyakinkan Rashid, maka saya mendapat lampu hijau daripada suami. Selain itu, saya juga perlu mematuhi syarat suami supaya tiada babak keterlaluan dengan pelakon lelaki," katanya mengimbas kembali cerita berkenaan.

Mengikut Sharifah Haslinda, selepas melahirkan anak kedua, dia pernah membintangi drama Kasih Iftitah arahan Fairuz Loy sekitar 2008. Drama itu turut dibintangi Rusdi Ramli dan Julia Ziegler.

"Selepas ini, saya tak kisah untuk berlakon lagi. Tetapi seperti biasa, semuanya perlu mendapat izin suami. Selain itu, saya juga kena tengok skrip dan watak. Kalau ada tawaran lagi selepas ini, saya mungkin akan pertimbangkan," katanya.

Perkahwinan Lynn bersama Reezal, dikurniakan empat orang anak.

Berita Harian X