Sabtu, 22 Ogos 2015 | 12:45pm

Menang di Anugerah Lawak Warna 2015, hadiah awal hari lahir - Sharnaaz Ahmad

SHARNAAZ dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (TV) di Anugerah Lawak Warna 2015. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SHARNAAZ dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (TV) di Anugerah Lawak Warna 2015. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Di sebalik kontroversi watak lembut bernama Farish yang dilakonkan Sharnaaz Ahmad dalam drama Suamiku Encik Sotong yang dikatakan menjengkelkan, keterlaluan dan tidak realistik, siapa sangka percubaan pertama pelakon berkenaan membawakan watak sedemikian akhirnya membuahkan hasil.

Malam tadi menerusi watak drama terbitan Global Station Sdn Bhd hasil adaptasi daripada novel karya Syikin Zainal itu, Sharnaaz dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (TV) di Anugerah Lawak Warna 2015 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Bagi kategori sama untuk filem, Sharnaaz yang bertanding di bawah filem Gila Baby gagal menambat perhatian juri sebaliknya rezeki dan tuah lebih menyebelahi Beto Kusyairy bagi filem yang sama.

Trofi itu bagi Sharnaaz umpama hadiah awal untuk dirinya yang akan genap 30 tahun pada 30 Ogos ini. Sebelum ini Sharnaaz pernah menang kategori Hero & Heroin Pilihan (bersama Nelydia Senrose) untuk drama Setitis Kasih Darmia di Anugerah Drama Festival KL 2015, Artis Paling Kontroversi Anugerah Bintang Popular BH 2014 dan Artis Sensasi untuk Anugerah Melodi.

"Ini anugerah pertama saya yang membabitkan kategori komedi. Tapi untuk kategori ini saya bertanding bukan atas tiket sendiri sebagai pelakon komedi tetapi atas kapasiti drama yang dilakonkan. Tak sangka saya boleh menang kategori ini tetapi syukur Alhamdulillah kepada yang menilai bakat lakonan saya membawakan karakter berkenaan. Ternyata ia hadiah awal untuk hari lahir saya hujung bulan ini.

"Mungkin selama ini orang lebih nampak sisi saya sebagai pelakon serius, ganas, garang dan macam-macam lagi. Watak itu yang dianggap komedi memang dilihat berlawanan dengan persepsi penonton selama ini. Tapi daripada dahulu lagi bagi yang mengenali saya termasuk keluarga dan kawan, saya memang ada sisi lawak. Pendek kata, yang kenal saya memang macam 'kera' kalau datang sisi lawak," katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi.

ANTARA babak dalam drama Suamiku Encik Sotong.
ANTARA babak dalam drama Suamiku Encik Sotong.

Bagi Sharnaaz watak lembut itu bukan semudah yang disangka untuk dilakonkan. Malah ketika namanya diumumkan sebagai pemenang, Sharnaaz benar-benar terkejut kerana menyifatkan karakter sedemikian cukup berat untuk diterjemahkan buatnya.

"Memang saya tak bajet nak menang kerana watak itu yang pertama saya buat atas dasar mencabar diri. Takut juga apabila menerima tanggung jawab melakonkan watak itu dengan pandangan orang. Apatah lagi, saya selama ini lebih dikenali dengan watak 'ganas'. Tapi saya mencuba dan mencabar diri.

"Tapi selepas saya membawakan watak itu, saya sedar diri ini nak berlakon lembut memang tak berapa nak menjadi. Maka sebab itu saya masukkan sisi lawak untuk memberikan warna kepada watak itu," kata Sharnaaz sambil memberitahu hari lahir beliau akan diraikan lebih awal oleh kelab peminatnya hari ini.

Saat ini, Sharnaaz juga sedang memikirkan lebih jauh untuk mencipta kejayaan di peringkat luar pula terutama Asia.

"Sasaran saya pula selepas ini nak tengok telefilem juga terbitan Global Station Sbn berjudul 'Hidupku Solatku Matiku' yang menampilkan lakonan saya di samping Fasha Sandha dan Puteri Balqis untuk merebut anugerah di peringkat Asia pula. Kalau dicalonkan pun sudah cukup baik. Kalau menang itu pastinya bonus," katanya.

Malam tadi beberapa nama pemenang seperti Sharnaaz dan Jihan Muse tidak berada di acara 'post party' yang dianjurkan penganjur.

"Saya tak diberitahu secara jelas mengenai acara itu. Saya tahu memang ada acara itu. Cuma di pihak penganjur sendiri tak ada sesiapapun yang memberikan informasi mengenai keperluan saya sebagai pemenang. Saya sendiri jadi terkontang-kanting. Dengan keadaan lapar, saya pilih untuk balik sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Sharnaaz berjudul Mencintaimu terbitan Global Station Sdn Bhd yang diarahkan Raja Ahmad Alauddin, sedang rancak disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia.

Sharnaaz buat pertama kali bergandingan dengan pelakon baharu yang sedang mendapat perhatian, Zahirah MacWilson. Sharnaaz membawa watak Hisham, anak orang kaya yang tinggal di bandar manakala Zahirah melakonkan watak Annisah, seorang gadis kampung.

Berita Harian X