Sabtu, 15 Ogos 2015 | 1:27pm

Aishah Ilias tinggalkan lakonan, mahu jadi pramugari?

Aishah Ilias
Aishah Ilias

KUALA LUMPUR: Realitinya dunia hiburan atau seni bukan semata-mata menjanjikan kemasyhuran dan kesenangan sepanjang masa. Hakikatnya juga, masih ada artis yang sedang bergelut dalam meneruskan survival. Benar ada yang dilihat mampu hidup mewah dengan menjadi artis dan tak kurang juga yang menjadikan pengaruh serta populariti sebagai batu loncatan untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan contohnya.

Di sebalik semua itu, ada juga artis yang bertarung sendirian ketika tawaran berlakon kian berkurangan atau dalam erti kata lain sudah tak ada langsung. Aishah Ilias, 26, turut berdepan dengan situasi yang sama. Entah di mana silapnya, biarpun pernah diberi peluang berlakon termasuk menjadi heroin drama dan filem, tuah masih belum memihak kepadanya.

Mengikut gadis tinggi lampai berdarah kacukan Arab-India di sebelah ibu dan Cina-Jawa, situasi di mana dia tak ada tawaran berlakon sekitar dua ketiga bulan bukan sesuatu yang pelik. Malah senario yang sama pastinya dilalui anak seni yang lain. Kali terakhir Aishah berlakon ketika membintangi telefilem 'Dalam Pelukan Ramadan' terbitan Zeel Production yang sudah disiarkan di Astro Ria.

"Ramai artis sebenarnya berdepan situasi yang sama. Inilah naik turun dunia seni yang dihadapi pelakon. Kalau sudah bukan rezeki kita, maka saya harus reda. Sepatutnya saya ada menerima tawaran berlakon tetapi menolak atas sebab menjaga keluarga. Silap saya juga tapi saya harus utamakan keadaan keluarga.

"Tak apa mungkin ini bahagian saya untuk terus kuat meneruskan hidup. Lagipun saya hanya ada kakak dan emak. Ayah sudah meninggal dunia. Jadi tanggung jawab memang bertambah. Saya pun tak ada adik beradik lelaki yang lain," katanya.

Lima tahun terbabit dalam dunia seni, jelas memang Aishah belum menyerlah. Bukan tidak memiliki pakej menarik tetapi tuah dan rezekinya untuk menyinar tak sampai lagi. Pada satu tahap, Aishah tak menafikan mahu mencari kerja tetap yang lebih terjamin. Pilihannya kini ialah untuk menceburi dunia penerbangan sebagai pramugari.

"Saya ada ke sesi temu duga menjadi pramugari untuk sebuah syarikat penerbangan. Kalau dapat dan tengok rezeki macam mana, saya akan ikut. Saya sendiri sering tertanya-tanya apa nasib saya dalam dunia lakonan. Sudah berlakon banyak tetapi macam orang tak sedar. Saya pun jenis yang jarang ke acara hiburan atau fesyen sekali gus pendedahan saya amat kurang.

"Ikutkan saya memang minat jadi pramugari. Kalau dapat dan diterima bekerja, mungkin saya terpaksa korbankan kerjaya lakonan. Tapi semua itu perancangan. Saya akur dengan apa saja suratan tertulis nanti.

Ikutkan sudah lama saya meminati kerjaya pramugari ini. Malah, sejak awal berlakon lagi, saya memang minat nak cuba nasib jadi pramugari tetapi ketika itu saya memakai pendakap gigi dan terpaksa melupakan hasrat itu," katanya.

Berita Harian X