KUALA LUMPUR: Sehingga saat ini kisah cinta pengacara, pelakon dan juga usahawan, Neelofa masih menjadi buruan.
Pernah dikaitkan rapat dengan beberapa individu termasuk pelakon Hans Isaac sehinggalah dengan kerabat diraja, kisah cintanya terus menjadi perhatian.
Terbaharu ada pula yang mengandaikan Neelofa dengan jejaka berdarah campuran, Malek Marcus McCorne yang juga hangat bercinta.
Baru-baru ini, Neelofa mencetuskan tanda tanya pula apa memuat naik gambar jejaka yang dipanggilnya sebagai Mr Steak ketika bercuti di London.
Jejaka itu juga dikenal pasti sebagai seorang model dari London bernama Craig Smith yang turut melakukan kerja peragaan di Malaysia.
Malah Neelofa pernah bekerjasama dengannya di Pulau Pinang beberapa bulan lalu.
Menghubunginya sebentar tadi, Neelofa ditanyakan hal berkenaan tetapi memilih untuk mengunci mulut hal berkaitan peribadinya.
"Saya tak nak komen apa-apa. Apa yang saya lalui dan terjadi saat ini, saya tak nak beri apa-apa kenyataan," katanya ringkas.
Ketika dihubungi, pengacara program Meletop di Astro itu sebenarnya menjalani penggambaran telefilem Wan Embong arahan Amie Maziah terbitan Zeel Production.
Turut sama berlakon ialah Vanidah Imran, Faizal Hussein, Izreen Azminda dan Johan As'ari. Ia akan disiarkan untuk slot Cerekarama TV3 tidak lama lagi.
"Ini kerjasama kali keempat saya dengan Zeel Production. Saya pegang watak Wan Embong. Saya mula penggambaran sejak 7 Ogos lalu dan komitmen saya untuk telefilem ini selama lapan hari.
"Kali terakhir saya berlakon juga pada tahun ini menerusi telefilem Lukisan Takdir arahan
Azma Aizal Yusoof juga disiarkan dalam slot Cerekarama," katanya.
Biarpun dilihat sudah menceburi lakonan, nama Neelofa sebenarnya lebih dilihat menyerlah dalam dunia pengacaraan namun itu tidak bererti Neelofa mahu melupakan lakonan.
"Saya sudah mula berjumpa stesen TV dan melihat beberapa skrip yang menarik. Skrip Wan Embong ini antara yang saya suka dan pilih.
"Selepas ini memang saya akan lebih banyak berlakon. Saya akan bahagi masa sebaik mungkin untuk fokus mana satu terlebih dahulu. Selepas satu projek lakonan itu saya akan berehat. Tempoh berehat itu dapat juga saya fokus pengacaraan dan perniagaan," katanya.