Selasa, 20 Januari 2015 | 10:25pm
Jihad anak sulung Bade dan isteri keduanya, Aida. - Gambar ihsan instagram Bade
Jihad anak sulung Bade dan isteri keduanya, Aida. - Gambar ihsan instagram Bade
Bade sedang ditemubual Wartawan H!Live mengenai filem Isyarat Cinta.
Bade sedang ditemubual Wartawan H!Live mengenai filem Isyarat Cinta.

Cabaran hidup bermadu bukan senang - Bade

Bade, Erma Fatima, Aida dan keluarga besar mereka meraikan hari lahir Datin Umie Aida, baru-baru ini. - Gambar ihsan instagram Bade
Bade, Erma Fatima, Aida dan keluarga besar mereka meraikan hari lahir Datin Umie Aida, baru-baru ini. - Gambar ihsan instagram Bade

KUALA LUMPUR: Sutradara Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi mengakui hidup berpoligami bukan satu keseronokan atau keindahan yang sering digambarkan apabila dapat beristeri lebih daripada satu.

Pengarah yang bakal muncul dengan filem Isyarat Cinta pada 19 Mac ini menerusi terbitan syarikat RK Screen itu ditemui BH Online, petang tadi dalam satu sidang media mengumumkan tayangan amal perdana filem berkenaan pada 4 Mac ini.

Tayangan amal filem itu dianjurkan RK Screen dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Cathay @e-Curve, Damansara jam 8.30 malam.

Bade antara lelaki yang mengamalkan poligami. Selepas berkahwin dengan sutradara Erma Fatima pada 30 November 1990, siapa sangka Bade yang ternyata mengejutkan ramai pihak berkahwin dengan Aida Abdullah tahun lalu.

Perkahwinan keduanya itu direstui Erma sendiri. Bade juga baru saja bergelar bapa menerusi perkahwinannya dengan Aida selepas dikurniakan anak lelaki bernama Jihad yang berusia sebulan lebih.

"Ada isteri dua, tanggungjawab lagi besar. Ia bukan hal yang menyeronokkan seperti yang orang bayang atau keindahan dapat memperisterikan bini muda. Tak mudah untuk mempunyai dua isteri pada masa yang sama. Kita kena bertanggungjawab kepada mereka.

"Erma sebagai isteri pertama tahu semua perkara dari A hingga ke Z termasuk mengenai isteri kedua. Saya sendiri selama berkahwin dengan Erma sentiasa tulus. Dia sendiri yang mengesyorkan saya berkahwin lagi.

"Usaha saya sebagai suami untuk mendekatkan isteri pertama dan kedua sekali gus dapat menerima antara satu sama lain. Rumah isteri pertama dan kedua pun tak jauh. Kebahagiaan mutlak saya ialah apabila mereka dapat bersatu dan berbaik hingga akhir hayat," kata Bade ketika majlis diadakan di RK Screen Sdn Bhd, Menara TSH, KL.

Ditanya mengenai jadual giliran isteri pertama dan kedua, Bade menjelaskan tiada jumlah hari tertentu yang ditetapkan pada dasarnya. Semuanya bergantung kepada keadaan atau keperluan kedua isterinya.

"Selalu dan kebiasaannya sehari rumah Erma dan sehari kemudian di rumah Aida. Begitulah seterusnya. Cuma ia tak tetap. Jika apa-apa terjadi di rumah mana-mana isteri contohnya anak sakit atau ada kenduri kendara, saya mungkin mengubah suai giliran bermalam.

"Ada kalanya ia boleh jadi dua malam di rumah Erma dan tiga malam di rumah Aida. Saya tak berkira dan isteri pun begitu juga. Dengan tanggung jawab ini, ada kalanya isteri turut bertanya masa saya sendiri pula bila.

"Dari awal perkahwinan kedua, Erma pun tak ada masalah dengan Aida. Jadi mereka boleh bertolak ansur. Saya sebenarnya kadang-kadang terdetik dan tabik dengan lelaki yang boleh berkahwin hingga empat orang tetapi boleh urus masa dengan baik," katanya.

Bagi Bade, dia sedar hubungan kedua isterinya masih baru dan terlalu awal untuk menjadi begitu akrab. Beliau sedar kedua-duanya isteri berbeza daripada banyak sudut dan oleh itu beliau sendiri tidak memaksa kedua-duanya untuk menjadi rapat.

"Bukan senang untuk masing-masing menerima kekurangan dan kebaikan. Semuanya mengambil masa. Saya sendiri tak pernah suruh atau memaksa Erma contohnya untuk datang ke rumah Aida. Ia hadir dengan inisiatif masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang bergelar bapa, Bade sendiri tak menyangka masih berupaya mendapat zuriat.

"Rasa macam mimpi di usia saya sekarang mendapat zuriat. Tapi sebelum ini saya sentiasa berdoa dikurniakan zuriat dan Alhamdulillah ia dimakbulkan. Sejujurnya saya tak pernah terlintas akan terfikir keajaiban ini di usia selewat saya.

"Saya selalu berfikir sebagai hambanya kita sentiasa berdoa meminta apa saja daripada Pencipta. Doa itu dalam pelbagai bentuk. Anak kami ini pun hanya pinjaman saya. Saya sendiri pun selalu cakap dekat isteri, semua hanya pinjaman dan kita hargailah selagi bernyawa," katanya.

Berita Harian X