Jumaat, 15 Ogos 2014 | 12:44am
DAKWAAN sudah tidak lagi tinggal serumah bersama suami, Adi Putra ditepis Aida Yusof. - Foto BHonline
DAKWAAN sudah tidak lagi tinggal serumah bersama suami, Adi Putra ditepis Aida Yusof. - Foto BHonline

Aida Yusof tidak suka berkongsi hal 'luar dalam' rumah tangga

KUALA LUMPUR: Dakwaan sudah tidak lagi tinggal serumah bersama suami, Adi Putra ditepis Aida Yusof sekeras-kerasnya.

Gosip mengatakan pasangan suami isteri ini sudah berpisah mula bertebaran sejak Julai lalu, malah ada suara nakal yang agak keterlaluan mengatakan rumah tangga Aida dan Adi sudah berakhir.

Aida yang dihubungi BH Online hari ini mempersoalkan apa motif mereka yang menyebarkan cerita rumah tanggangnya sebegitu.

Pasangan ini ternyata masih bahagia sejak perkahwinan dibina 2006.

Hampir sembilan tahun berkahwin, pasangan ini memang tidak pernah sepi dengan kontroversi yang cuba meruntuhkan kebahagiaan dibina.

"Gosip ini seperti mereka sesuka hati menjangkakan itu dan ini. Kami masih bersama dan tiada tanda tanya seperti yang cuba dibangkitkan.

"Jika kami tidak bersama, saya tak akan sembunyi. Saya lebih senang berterus terang menceritakan perkara sebenar.

"Kalau wartawan hubungi, saya tak akan mengelak. Saya suka bagi fakta yang jelas tanpa perlu berdolak-dalik.

"Apabila cerita sebegini tersebar, saya agak terkejut dan pelik kenapa orang luar pula yang lebih tahu. Saya pun jenis tak bercerita dengan kawan mengenai perihal luar dan dalam rumah tangga. Saya bukan jenis suka bercerita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aida yang juga penerbit baru saja menerbitkan program dokumentari berbentuk majalah untuk siaran RTM.

Salah satunya ialah Rentap yang dihasilkan 13 episod.

Selain itu, produksi miliknya, Pro Pictures Sdn Bhd akan menerbitkan drama Masam Manis juga untuk RTM, tak lama lagi.

Berita Harian X