Rabu, 7 Disember 2016 | 7:19am

DAP gelisah belang semakin didedah

 UCAPAN dasar Najib pada Perhimpunan Agung UMNO 2016. - Foto Hafiz Sohaimi
UCAPAN dasar Najib pada Perhimpunan Agung UMNO 2016. - Foto Hafiz Sohaimi

UCAPAN dasar Presiden UMNO, Datuk Sri Najib Razak, pada Perhimpunan Agung UMNO Khamis lalu nyata menggegar jiwa pemimpin DAP. Apa yang Najib nyatakan adalah satu fakta, iaitu pilihan yang ada dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti ialah antara Keindukan Kerajaan Pimpinan UMNO atau Keindukan Kerajaan Pimpinan DAP.

Najib juga menyebut DAP memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya. Yang turut didedahkan ialah perlembagaan DAP tidak mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, tidak menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengandungi usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.

Berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO, terus diikuti oleh Persidangan Kebangsaan DAP (PKD), sekali gus meraikan ulang tahun ke-50 DAP di Shah Alam kelmarin. Dalam ucapan dasarnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Najib tidak tahu mengira kerana DAP hanya bertanding di 51 kerusi Parlimen dan tidak mungkin boleh menguasai majoriti dalam kalangan 222 Ahli Parlimen.

Guan Eng juga menyebut, DAP tidak pernah meminta seorang Cina untuk menjadi Perdana Menteri, jadi DAP pasti tidak akan menguasai kerajaan sekiranya pakatan pembangkang menguasai Putrajaya. PKD 2012 juga telah meluluskan Deklarasi Shah Alam yang menyatakan komitmen DAP untuk melakukan perkara yang dipertikaikan oleh Najib. Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, pula menuduh Najib berniat jahat, bermain tipu daya dan melancarkan kempen kebencian.

Sambil memberi amaran kepada Najib supaya jangan main-main, beliau menyebut perlembagaan DAP menyatakan antara matlamat DAP adalah 'mengesahkan dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada kerangka asal.' Sebelumnya, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, memberikan reaksi yang lebih keras. Beliau bertanya adakah Najib buta huruf sehingga tidak faham apa yang tertulis dan diterbitkan oleh DAP sebelum ini. Beliau mendakwa MCA, MIC dan GERAKAN juga tidak meletakkan keseluruhan Perlembagaan Persekutuan ke dalam perlembagaan parti.

Sangat menyedihkan bila bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang hadir dalam PKD dipergunakan untuk membenteng DAP daripada serangan. Dr Mahathir kelmarin tunduk melutut kepada DAP dengan menyebut pandangannya dulu terhadap DAP adalah tidak betul. DAP bukan parti Cina dan semangat Kemalaysiaan DAP lebih kuat daripada MCA, katanya. Ujar Dr Mahathir, ucapan Guan Eng cukup baik kerana beri pengakuan DAP patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dan kerana beri jaminan DAP tidak meminta jawatan Perdana Menteri.

Takut belang didedah

Tidak benar persaingan dalam PRU-14 adalah antara UMNO dan DAP, katanya. Meniru Guan Eng, beliau turut menyindir Najib kerana kononnya tidak mampu mengira. Nampaknya, ucapan Najib memberikan impak cukup besar kepada DAP. DAP begitu takut sekali bila belangnya didedahkan kepada rakyat hingga terkeluar kata-kata biadab kepada Najib lantaran tidak mampu menjawabnya. Malah DAP cuba memperbodohkan rakyat dengan menyebut perkara yang Najib tidak sebut bagi membolehkan Najib diperlekeh.

Najib tidak menyebut jika pakatan pembangkang berkuasa, DAP akan jadi Perdana Menteri. Apa yang disebut hanyalah DAP akan jadi induk kepada kerajaan. Ini berlaku dahulu bila DAP dominan dalam kerajaan Perak 2008-2009 walaupun Menteri Besarnya Melayu dan berlaku sekarang bila DAP dominan dalam Parlimen walaupun Ketua Pembangkangnya Melayu. Benar DAP mungkin bertanding di 51 kerusi Parlimen dalam PRU-14, tetapi bayangkan bentuk kerajaan yang akan dibentuk jika, contohnya, DAP menang 45 kerusi, PPBM menang 35 kerusi, PKR menang 30 kerusi dan PAN menang 15 kerusi?

Tanpa mengira siapa pun yang akan menjadi Perdana Menteri, sudah tentulah induk kepada kerajaan ialah DAP. Mungkin benar DAP tidak pernah meminta seorang Cina untuk menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun, Guan Eng sendiri pernah menyebut dalam satu majlis dialog tertutup di Singapura pada 10 Disember 2014 bahawa kaum bukan Melayu berpeluang menjadi Perdana Menteri sekiranya Perlembagaan Persekutuan dikekalkan bentuknya seperti sekarang.

Apa sahaja deklarasi yang dibuat oleh parti tidak mempunyai kesan perundangan berbanding peruntukan Perlembagaan. Jika DAP ikhlas mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera, mengapa ini tidak dimasukkan ke dalam perlembagaannya? Kok Wai berbohong mengenai matlamat DAP kerana matlamat sebenar DAP ialah 'mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Persekutuan kepada rangka kerja sekular yang asal.'

Frasa digunakan menunjukkan, bagi DAP, Perlembagaan Persekutuan sekarang 'sakit' sehingga perlu dipulihkan. Tumpuannya hanyalah kepada aspek sekularnya. Benar MCA, MIC dan GERAKAN tidak meletakkan keseluruhan Perlembagaan Persekutuan ke dalam perlembagaan parti. Bagaimanapun, semakan membuktikan perlembagaan semua parti ini mengandungi klausa melindungi, menegak dan/atau memartabatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai satu matlamatnya, dan ini tidak dimiliki oleh perlembagaan DAP.

Matlamat bermasalah

Matlamat DAP banyak yang bermasalah. Matlamat 'memulihkan pilihan raya tempatan' masih ada dalam perlembagaan DAP walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan pada 14 Ogos 2014 bahawa enakmen diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya tempatan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Lebih daripada itu, bagi menunjukkan dominasi DAP dalam pembangkang, Guan Eng sendiri mengumumkan di Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan pada 2 November 2014 bahawa pakatan itu akan menubuhkan kerajaan negeri di Kuala Lumpur jika ia menguasai Putrajaya. Ini dilakukannya secara unilateral tanpa lebih dahulu merundingi parti komponen pakatan lain.

Ramai intelektual Melayu Islam yang saya kenali bersetuju dengan Najib bahawa DAP memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya. Secara mudahnya, jika DAP benar-benar boleh menjaga kepentingan Melayu Islam, mengapa pemimpin Melayu Islam di luar DAP yang beria-ia membela DAP tidak terus beramai-ramai menyertai DAP?

Penulis ialah Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X