Ahad, 28 Ogos 2016 | 6:29am

Ibadah haji serlah kesepaduan ummah

MASJID Nabawi antara lokasi wajib dikunjungi umat Islam sewaktu musim haji.
MASJID Nabawi antara lokasi wajib dikunjungi umat Islam sewaktu musim haji.

ALLAH SWT telah menjadikan ibadah haji sebagai ibadah yang istimewa kerana semua amalannya berbentuk pengisian rohani. Memakai ihram contohnya membawa kita kembali ke alam fitrah iaitu membebaskan diri daripada belenggu keduniaan.

Berihram juga mengingatkan jemaah haji kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim serta keikhlasan mereka melafazkan talbiah yang bermaksud: "Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah aku penuhi panggilan-Mu. Aku penuhi panggilan-Mu yang tidak ada sekutu bagi-Mu, aku penuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian dan nikmat serta kerajaan adalah milik-Mu".

Makna lafaz talbiah menggambarkan keluhuran hati hujjaj yang melaksanakan ibadah haji di tanah haram. Kata-kata dilafazkan menggambarkan mereka seumpama makhluk yang baru dilahirkan semula, berhati suci, bersih, untuk taat dan beribadah kepada Allah serta menyesali perbuatan salah dilakukan sebelum ini.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa yang pergi haji lalu tidak berkata kotor dan bertindak keji, dosa-dosanya terhapus seperti ia baru dilahirkan oleh ibunya".

Ibadah haji mampu mewujudkan rangkaian baharu dalam kalangan umat Islam. Umat Islam dari seluruh pelosok dunia berkumpul bersama, bergaul dengan saudara Islam daripada berbilang bangsa untuk melaksanakan ibadah secara bersama.

Berkongsi semangat

Sesungguhnya ini adalah satu manfaat yang cukup besar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu." (Surah al-Hajj, ayat 27-28)

Mereka yang berkemampuan

Rukun Islam kelima yang diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan itu juga adalah latihan untuk melaksanakan prinsip Islam yang lain seperti mencari keredaan Allah SWT kerana jemaah haji melakukan pengorbanan meninggalkan negara, harta serta ahli keluarga.

Selain itu, Allah SWT mengingatkan umat Islam yang menunaikan haji sentiasa tabah dan sabar menghadapi cabaran sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah, termasuk berdepan faktor cuaca, kesesakan serta ketidakselesaan disebabkan jumlah jemaah yang ramai.

Ia juga menerapkan nilai persamaan yang dikongsi jemaah memakai pakaian ihram tidak berjahit, berada di tempat sama, melakukan rukun ibadah yang tidak membezakan darjat. Keadaan itu secara tidak langsung mewujudkan satu semangat yang dikongsi semua jiwa hamba Allah SWT yang berniat melakukan ibadah kerana mengharapkan reda Tuhannya.

Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rabb kamu sekalian adalah satu, sesungguhnya ayah kamu semua adalah satu. Ingat! tidak ada keutamaan bagi orang Arab ataupun orang ajam dan tidak bagi orang ajam atas orang Arab, tidak bagi orang merah atas orang hitam dan tidak bagi orang hitam atas orang merah kecuali dengan takwa."

Tangkis persepsi negatif

Rasa perdamaian dapat dilihat melalui perhimpunan jutaan umat Islam seluruh dunia dan gambaran itu seharusnya menangkis persepsi negatif umat Islam sebagai kumpulan sering mencetuskan peperangan serta permusuhan.

Dakwaan itu tidak benar kerana Islam adalah agama perdamaian. Ibadah haji melatih dan membentuk rasa perdamaian. Sesungguhnya tanah haram dan kota Makkah adalah tempat perdamaian seperti disebutkan oleh Saidina Umar, "Andai aku melihat pembunuh ayahku di dalamnya, aku tidak akan menyakitinya".

Diibaratkan sebagai seminar antarabangsa umat Islam setiap tahun, kehadiran jemaahnya adalah atas undangan Allah SWT. Oleh itu, umat Islam yang diberi kesempatan perlu memanfaatkan peluang ini untuk menunaikan ibadah dengan sempurna.

Pada masa sama, menjadikan pertemuan mereka sebagai landasan untuk mengukuhkan kedudukan umat Islam melalui semangat yang diterapkan dalam setiap amalan atau rukun perlu disempurnakan kerana hikmah ibadah haji dapat dilihat oleh mereka yang benar-benar menghayati syariat diwajibkan ini.

Berita Harian X