Sabtu, 28 November 2015 | 11:21am
PENGELUARAN pelbagai variasi beras berkualiti tinggi bukan sahaja penting untuk menampung bekalan makanan rakyat, malah berpotensi meningkatkan eksport produk pertanian negara.
PENGELUARAN pelbagai variasi beras berkualiti tinggi bukan sahaja penting untuk menampung bekalan makanan rakyat, malah berpotensi meningkatkan eksport produk pertanian negara.

Usaha tingkat hasil bekalan negara

SHABERY Cheek yakin pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan mampu meningkatkan sosioekonomi petani, khususnya pesawah tempatan.
SHABERY Cheek yakin pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan mampu meningkatkan sosioekonomi petani, khususnya pesawah tempatan.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu ke arah memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani negara jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha meningkatkan taraf hidup petani, penternak dan nelayan di negara ini.

Ini seiring kepentingan peranan golongan itu dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan, sekali gus menepati dasar kedaulatan makanan yang baharu sahaja diperkenalkan.

Malah, ia memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan keupayaan negara menghasilkan bekalan sendiri melalui peningkatan kapasiti pengeluaran pelbagai produk pertanian dan hasil penternakan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pengenalan dasar itu penting kerana terlalu banyak implikasi negatif kepada negara sekiranya terlalu bergantung kepada bekalan makanan import, terutama dalam konteks geopolitik.

Import melebihi eksport

Katanya, kebergantungan kepada negara luar bagi membekalkan sumber makanan turut dikhuatiri memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutama prestasi nilai ringgit apabila jumlah import melebihi eksport.

"Malaysia perlu mengambil kira faktor geopolitik kerana sekiranya berlaku ketegangan hubungan dengan sesebuah negara pembekal, maka ia dikhuatiri boleh mengundang krisis bekalan makanan negara.

"Ini turut menjadikan negara kita kurang berdaya maju dari segi penghasilan bekalan makanan sendiri.

"Justeru, kerajaan memberi sepenuhnya keutamaan terhadap pelaksanaan dasar kedaulatan makanan sebagai langkah strategik membantu mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import dan pada masa yang sama, memperkasakan sosioekonomi petani," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan  program penggalakkan secara konsisten agar rakyat, khususnya pada peringkat akar umbi menceburi kegiatan pertanian, turut diyakini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan negara, sekali gus memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi mendepani apa juga situasi.

"Penyaluran bantuan berkaitan seperti subsidi baja dan padi juga perlu diteruskan bertujuan memastikan kos penghasilan makanan dapat dikawal selia agar tidak terlalu tinggi dan boleh menghasilkan keuntungan," katanya.

RM2.2b bantu petani

Justeru, RM2.2 bilion diperuntukkan kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2016 bagi membantu petani di bawah sub-sektor padi melalui tujuh jenis bantuan dalam bentuk subsidi dan insentif yang diberikan kepada pesawah.

Ia diagihkan mengikut kesesuaian merangkumi Insentif Pengeluaran Padi (RM563 juta), Subsidi Harga Beras ST 15 (RM528 juta), Subsidi Harga Padi (RM480 juta), Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (RM465 juta), Insentif Pengeluaran Benih Padi Sah (RM85 juta), Subsidi Baja dan Racun bagi Penanaman Padi Bukit atau Huma (RM70 juta) dan Insentif Peningkatan Hasil (RM20 juta).

Shabery berkata, kementeriannya turut mengambil inisiatif membangunkan kawasan jelapang padi secara maksimum di seluruh negara melalui kewujudan empat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Selain Pekan dan Rompin di Pahang, inisiatif sama turut dilaksanakan di Kota Belud, Sabah dan Batang Lupar, Sarawak sebagai 'jelapang negara' yang baharu membabitkan keluasan 25,905 hektar yang mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran padi sedia ada.

Sejumlah RM180 juta turut diperuntukkan tahun depan bagi menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan jelapang padi berkenaan untuk menyediakan kemudahan pembangunan pertanian lengkap dalam usaha memastikan penanaman padi dapat dijalankan dengan lebih efektif, sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah.

Skim subsidi padi naik

"Dalam Bajet 2016, Skim Subsidi Harga Padi dinaikkan kepada RM300 satu tan bermula Januari 2016. Bagi inisiatif kawalan mutu pula, pesawah turut digalakkan menghasilkan padi bermutu tinggi sebagai pelengkap usaha penyeragaman harga padi pada paras RM1,200 satu tan," katanya.

Shabery berkata, peningkatan penghasilan makanan memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk peladang.

"Kita yakin komitmen berterusan kerajaan membantu golongan ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil makanan, malah meningkatkan taraf sosioekonomi golongan berkenaan," katanya.

Berita Harian X