Rabu, 3 Jun 2015 | 9:02am

IS manipulasi isu sebar propaganda

Kumpulan Negara Islam (IS) umpama suatu fenomena yang melanda dunia. Pengaruh perjuangan radikal yang dilaung-laungkan bukan setakat menarik orang Islam namun golongan bukan Islam turut terkena tempiasnya.

Jelas betapa berkesannya propaganda kumpulan itu yang satu ketika dikenali sebagai Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau Negara Islam Iraq dan ash-Sham (Syria) (ISIS), dibentuk pada April 2013 selepas berpecah daripada Al-Qaeda di Iraq (AQI).

Ia adalah satu daripada kumpulan utama jihad yang berjuang menentang tentera kerajaan di Syria dan Iraq. Saiz kekuatan sebenar IS tidak jelas namun awal tahun ini, wartawan bebas Amerika Syarikat (AS), Mary Anne Weaver mendakwa separuh daripada pejuang IS terdiri daripada warga asing. Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2014 pula menganggarkan 15,000 pejuang IS adalah dari lebih 80 negara.

Perisikan AS pula menganggarkan IS mempunyai 20,000 pejuang asing setakat Februari 2015, termasuk 3,400 dari negara Barat. IS diketuai oleh Abu Bakr al-Baghdadi atau nama asalnya Ibrahim Awwad Ibrahim Ali Muhammad al-Badri al-Samarrai, 44. Tidak banyak maklumat diketahui mengenai Al-Baghdadi.

Dia dipercayai lahir di Samarra, utara Baghdad dan menyertai pemberontakan yang meletus di Iraq sejurus selepas pencerobohan diketuai tentera AS pada tahun 2003. Sesetengah percaya dia militan ketika pemerintahan Saddam Hussein, namun ada laporan lain mengatakan dia ketika itu menjadi ulama masjid ketika pencerobohan pada 2003.

Komander medan tempur

Al-Baghdadi dianggap sebagai komander medan tempur dan pengatur taktik, yang dikatakan penganalisis menjadikan kumpulannya lebih menarik kepada generasi muda berbanding Al-Qaeda, diketuai Ayman al-Zawahiri, seorang ahli teologi.

Ketika artikel ini ditulis, IS sudah menawan bandar lama Syria di Palmyra pada 21 Mei lalu selepas menguasai Ramadi di wilayah Anbar, Iraq, seminggu sebelumnya dan kini mara ke timur Ramadi untuk menawan bandar Husaybah.

Pengarah Antarabangsa Pusat Penyelidikan Keganasan Global Monash University Melbourne, Australia, Prof Greg Barton, berkata semakin ramai pihak dahagakan maklumat mengenai IS dan hairan bagaimana pengaruhnya boleh tersebar pantas di peringkat global.

"Lebih membingungkan lagi, bagaimana generasi muda atau remaja berlatar belakang keluarga sederhana, menamatkan riwayat mereka sebagai pengebom bunuh diri? Sudah pasti perkara ini tidak berlaku semalaman sebaliknya menerusi rangkaian sosial," katanya.

Beliau yang memiliki pengalaman selama 28 tahun memahami Islam dan masyarakatnya termasuk isu keganasan, berkata hasil penyelidikan pihaknya mendapati rangkaian sosial menjadi faktor kritikal menggerakkan ideologi serta penyampaian propaganda IS.

"Apa yang dilakukan IS menerusi media sosial bukan secara kebetulan, namun sememangnya sengaja menyasarkan generasi muda yang sering mempersoalkan ketidakadilan di sekeliling mereka.

Sebar propaganda

"Mengapa wujud ketidakadilan, mengapa orang baik mendapat pembalasan sedemikian rupa, begitu juga situasi di Syria yang mengalami perang saudara selama empat tahun sehingga sekurang-kurangnya 25 peratus penduduk Syria dibunuh, beratus ribu lagi cacat, separuh daripada penduduk negara itu kehilangan tempat tinggal.

"Dalam hal ini tidak hairanlah mengapa generasi muda tidak kira di Australia, Malaysia, Indonesia, Singapura atau tempat lain yang melihat situasi itu serta bertanya kepada diri mereka apa yang boleh dilakukan dan secara kebetulan dalam ruangan sembang dalam talian ada seseorang dari IS mula 'mencucuk jarum', membina keyakinan mereka dan seterusnya menyebarkan bahan propaganda yang amat halus sehingga mereka terpengaruh untuk menyertai perjuangan militan itu," katanya.

Barton berkata, walaupun pemimpin politik dunia enggan mengakui kehebatan IS, melihat kepada pencapaian menawan bahagian utara Iraq, utara Syria di sepanjang Sungai Furat (Euphrates) dan Dajlah (Tigris), kawasan sama luas dengan Great Britain, menempatkan lapan juta penduduk serta mengukuhkan kekuasaan mereka dalam jajahan itu, ia kejayaan besar.

Beliau menganggarkan ada 25,000 pejuang yang menyertai IS dari semasa ke semasa, 75 peratus daripadanya warga Arab dengan memiliki sumber kewangan AS$2 bilion (RM7.28 bilion) dan sama seperti satu 'kultus' atau 'cult' agama.

"Persoalan yang sering dibangkitkan ialah kumpulan itu hibrid Islam, menggunakan taktik gempur atau pemberontakan sebenar seperti ketika (tentera asing) menawan Iraq pada tahun 2003," katanya.

Sebar dakyah palsu

Barton menjalankan kajian meluas sejak dua dekad lalu berkaitan politik dan masyarakat Islam Indonesia. Istilah hibrid digunakan untuk menggambarkan aspirasi transnasional, berstruktur dan kekejaman sebagai sebahagian strategi persenjataan.

"Pencapaian terbesar IS ialah menjadikan jajahan mereka sebagai sebuah negara, mengisytiharkannya sebagai khalifah, seterusnya menyampaikan dakyah kepada generasi muda di seluruh dunia supaya berhijrah untuk menjadi seorang Islam yang bagus dengan menyertai mereka," katanya.

Mengulas jumlah rakyat Australia yang menyertai perjuangan IS, Barton berkata setakat ini 160 dipercayai menyertai pejuang dengan sekurang-kurangnya 30 orang menjadi pengebom bunuh diri dan 30 lagi dipercayai kembali ke tanah air.

"Sejak dua atau tiga tahun lalu, antara 200 hingga 300 orang yang sudah berlepas ke Syria dan Iraq, namun angka sebenar mungkin lebih tinggi," katanya sambil menganggarkan purata mereka berusia 30 an. Di Indonesia pula, lebih 1,000 rakyat negara itu yang berjuang di Asia Barat, tetapi angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

"Polis Indonesia mengatakan sehingga akhir tahun lalu, 600 rakyat negara itu menyertai perjuangan IS dan militan lain, namun jumlah itu mungkin tidak termasuk mereka yang sudah berada di negara itu," katanya menggelar IS generasi ketiga Al-Qaeda atau Al-Qaeda 3.0.

Akan lebih banyak serangan kecil-kecilan berteknologi rendah oleh individu atau kumpulan kecil yang lebih berjaya lone war berbanding serangan besar-besaran akan dilakukan secara spontan dan bukan dirancang dengan teliti seperti 9/11.

"Pihak berkuasa di Asia Tenggara perlu melakukan lebih lagi dari segi pengawasan dan pemantauan di media sosial atau aktiviti berkaitan pelampau kerana pengganas semakin bijak menggunakan teknologi selain meningkatkan kerjasama dengan negara berkepentingan," katanya.

Berita Harian X