Khamis, 19 March 2015 | 7:56am

Potensi kenaf komoditi eksport baharu negara

Samsudin (tiga dari kanan) bersama Qing Pu (empat dari kanan) menyaksikan gentian kenaf yang belum diproses diangkut ke dalam kontena sebelum dieksport ke China selepas perjumpaan dengan pembeli dan bakal pembeli tanaman kenaf, di Pulau Pinang, baru-baru ini. - Foto Zulkifli Zainuddin
Samsudin (tiga dari kanan) bersama Qing Pu (empat dari kanan) menyaksikan gentian kenaf yang belum diproses diangkut ke dalam kontena sebelum dieksport ke China selepas perjumpaan dengan pembeli dan bakal pembeli tanaman kenaf, di Pulau Pinang, baru-baru ini. - Foto Zulkifli Zainuddin

Kecanggihan teknologi yang membawa banyak kemajuan dalam industri pertanian termasuk pokok kenaf, membuka satu lagi ruang kepada industri biokomposit negara.

Pokok kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus Cannabinus adalah tanaman yang berasal dari Afrika dan sudah wujud sejak 4,000 tahun lalu. Tumbuhan ini bukan sahaja mampu menghasilkan gentian yang berkualiti, malah turut dapat menampung beberapa sektor pembuatan lain seperti tilam dan perabot, serta bertindak sebagai gentian penguat industri komponen plastik selain boleh dijadikan sumber makanan haiwan ternakan.

Malah kelebihan tumbuhan yang mencapai tempoh matang hanya empat bulan itu, mampu tumbuh dengan pantas dan boleh menjangkau ketinggian antara 3.7 hingga 4.3 meter dalam masa empat minggu. Selepas matang, kenaf akan diproses kepada gentian sebelum dijadikan produk seperti tali, guni, bahan binaan, plastik serta beg tangan.

Melihat akan potensi kenaf yang amat besar, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dipertanggungjawab untuk menerokai potensi tumbuhan itu sebagai komoditi eksport baharu Malaysia.

Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor, berkata pihaknya mengenal pasti potensi kenaf sejak tahun 2000 dan kajian sudah dilakukan sehingga tahun 2005 sebelum menggalakkan kenaf menggantikan tembakau dari tahun 2006 hingga tahun 2009. Usaha diperhebat dengan penubuhan LKTN pada tahun 2010.

Potensi tanaman kenaf bawa kemajuan kepada negara pada masa depan. - Foto hiasan
Potensi tanaman kenaf bawa kemajuan kepada negara pada masa depan. - Foto hiasan

Penanaman secara komersial sejak dua tahun lalu

Beliau berkata, penanaman kenaf secara komersial di negara ini sudah bermula sejak dua tahun lalu, dan permintaan bagi produk gentian kenaf adalah tinggi khususnya dalam industri automotif dan pembinaan.

"Sehingga kini, penanaman kenaf sudah dijalankan oleh kira-kira 1,300 pengusaha membabitkan kawasan seluas 2,000 hektar di seluruh negara. Kelantan adalah pengeluar kenaf kedua terbesar dengan keluasan 660 hektar selepas Pahang dengan 910 hektar sementara Terengganu, 660 hektar.

"Oleh kerana potensi tanaman kenaf yang boleh membawa kemajuan pada masa depan, kita menyasarkan 3,000 hektar tanaman kenaf tahun ini dan keluasan itu akan ditambah kepada 10,000 hektar menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pembeli dan bakal pembeli tanaman kenaf, di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kemajuan dan potensi tanaman kenaf di negara ini terbukti apabila gentian menerima permintaan tinggi dari China, iaitu sebanyak 200 tan sebulan.

 Kejayaan itu dicapai apabila gentian kenaf di negara ini menunjukkan kualiti lebih baik berbanding negara lain memandangkan iklimnya sesuai dengan pertumbuhan tanaman berkenaan.

Malah gentian daripada kenaf ini juga sudah diiktiraf oleh pakar persijilan global, TUV SUD, selain diuji Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

 Samsudin berkata, pihaknya sudah menghantar 20 tan gentian kenaf ke China tahun lalu sebagai sampel untuk ujian terperinci berkenaan kualitinya di negara berkenaan.

 Katanya, hasil ujian yang dilakukan di China menunjukkan gentian kenaf dari negara ini sangat berkualiti dan mereka bersetuju untuk mendapatkan 200 tan setiap bulan.

"Penghantaran ke China ini adalah detik bersejarah bagi industri kenaf negara memandangkan ia julung kalinya dilakukan selepas kenaf dikenal pasti sebagai tanaman berpotensi pada tahun 2000.

Dapat perhatian dari negara jiran

"Bukan itu sahaja, gentian kenaf juga mendapat perhatian dari negara jiran seperti Thailand untuk digunakan dalam industri automotif terutama bagi produk cekap tenaga," katanya.

Dalam pembuatan produk berasaskan tanaman kenaf, kita ada 10 kilang di seluruh negara antaranya seperti KPC Manucfaturing Sdn Bhd, Pointray (M) Sdn Bhd, Everisw Crimson (M) Sdn Bhd serta Kenaf Agro Vet Sdn Bhd.

 Pengurus Kenaf Agro Vet Sdn Bhd, Dr Rahmatullah Hussain, berkata sejak tanaman kenaf mula menjadi komoditi eksport baharu Malaysia, pihaknya mengambil inisiatif itu dengan menandatangani perjanjian kerjasama pada Oktober tahun lalu.

 Beliau berkata, dalam perjanjian itu, LKTN akan membekalkan pokok dan batang kenaf yang sudah matang kepada kilangnya sebelum diproses menjadi produk seperti gentian, palet makanan ternakan, bahan bakar dan premix makanan ternakan.

  "Pembinaan kilang bernilai RM7.5 juta di tapak seluas 0.8 hektar ini lebih menumpukan kepada proses pembuatan gentian memandangkan produk kenaf sudah mendapat tempahan dari China sebanyak 200 tan setiap bulan.

  "Menggunakan mesin fiber separator line, gentian kenaf ini juga diproses menjadi produk yang dibekalkan kepada syarikat tempatan seperti tilam daripada Fnaf Mattress Sdn Bhd serta The Seed Sdn Bhd bagi kilang membuat bekas makanan.

"Bahan daripada batang tanaman kenaf yang dikenali core akan dihasilkan menjadi makanan haiwan selain turut dijadikan bahan dalam pembuatan papan cip oleh Pusat Sumber Teknologi Perabot MARA (FITEC)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Shenzhen Laswell Trading Co Ltd dari China, Ling Qing Pu, berkata gentian kenaf di Malaysia sangat berkualiti dan tidak berbau selain lebih lembut berbanding gentian kenaf di negaranya.

Samsudin (kanan) dan Pengarah Pusat Koreksi Kamunting, Mohd Roslen Ramli melihat hasil kenaf di Pusat Koreksi Kamunting. - Foto Supian Ahmad
Samsudin (kanan) dan Pengarah Pusat Koreksi Kamunting, Mohd Roslen Ramli melihat hasil kenaf di Pusat Koreksi Kamunting. - Foto Supian Ahmad

Pembuatan tilam, perabot

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menggunakan gentian kelapa dan gentian palma untuk dijadikan bahan mentah dalam pembuatan tilam dan peralatan perabot.

"Namun, gentian kelapa dan palma tidak sesuai bagi menghasilkan produk bayi yang kami usahakan. Hanya gentian kenaf dari Malaysia lebih sesuai digunakan kerana ia tidak berbau serta lembut.

"Di negara kami sendiri sudah mempunyai gentian kenaf, namun ia tidak sama dengan negara ini. Mungkin faktor iklim dan kesuburan tanah berbeza menyebabkan tanaman kenaf di Malaysia lebih berkualiti berbanding China.

"Justeru, kami mengambil peluang daripada tawaran LKTN yang ingin menjadikan tanaman kenaf  sebagai komoditi eksport baharu Malaysia. Jadi kita berjanji akan mengambil gentian kenaf dari Malaysia sebanyak 200 tan setiap bulan," katanya.

Berita Harian X