Sabtu, 31 Januari 2015 | 8:54am

Jauhi kumpulan ekstremis IS

Kenderaan tentera yang dibekalkan AS kepada Iraq dirampas militan IS
Kenderaan tentera yang dibekalkan AS kepada Iraq dirampas militan IS

Gerakan ekstrem yang berkembang sejak akhir-akhir ini menjadi ancaman serius terhadap kedaulatan negara terutama kumpulan Negara Islam (IS). Mereka muncul di Iraq dan menamakan diri pejuang Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang bercita-cita membina negara berteraskan pemerintahan khalifah.

IS mula popular apabila pada 10 Jun tahun lalu mereka memasuki bandar Mosul dan menewaskan pertahanan tentera Iraq sebelum menawan Tikrit dan cuba mara ke kota Baghdad. Mereka turut mara ke Baiji, kawasan terletaknya loji penapisan minyak terbesar Iraq dan pertempuran kemudian merebak ke kawasan lebih jauh lagi di Tal Afar dan lain-lain lagi.

Selepas menguasai wilayah timur Iraq dari Aleppo sehingga ke Diyala, mereka mengisytiharkan penubuhan 'kerajaan khalifah' dengan Abu Bakar al-Baghdadi sebagai khalifah dan pemimpin kepada umat Islam seluruh dunia. Mereka turut menyeru pemuda Islam seluruh dunia menyertai perjuangan mereka yang didakwa suatu jihad. Ada juga dalam kumpulan itu mengisytiharkan diri sebagai Mahdi.

Pengumuman yang dibuat itu adalah retorik semata-mata kerana negara khalifah yang diisytiharkan itu tidak memaparkan ciri-ciri khalifah dalam konteks struktur dan sifat negara Islam yang sebenar. Cara perjuangan mereka juga jauh daripada ajaran Islam. Mereka bukan kumpulan jihad sebenar tetapi pengganas yang cuba menghancurkan kehidupan rakyat secara militan.

Kerajaan khalifah yang diisytiharkan itu tidak mempunyai kuasa yang jelas dan tidak menepati ciriciri sebuah kerajaan khalifah yang dapat mempertahankan keselamatan dan memberi perlindungan kepada rakyat. Malah, apa yang dilakukan mendatangkan ketakutan kepada orang awam. Membunuh sesiapa sahaja yang menentang dan melaksanakan undang-undang mengikut kejahilan dan nafsu sendiri.

Yang jelas, kumpulan yang berakar umbi daripada al-Qaeda di Iraq menggunakan pendekatan sangat ekstrem. ISIS mengambil landasan sendiri dengan keluar daripada al- Qaeda Global (AQG). Mulanya menamakan diri sebagai Negara Islam Iraq (ISI) di bawah kepemimpinan Abu Ayyub al-Masri berikutan terbunuhnya Abu Musab al-Zarqawi dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003. Apabila Abu Ayyub al- Masri terbunuh dalam operasi AS-Iraq pada April tahun 2010, tempatnya diganti oleh Abu Bakar al-Baghdadi yang juga dikenali sebagai Awwad Ibrahim al- Badri al-Sammari.

Di bawah kepemimpinannya, ISI meluaskan pengaruh ke Syria berikutan berlakunya pergolakan di negara itu (2011) sehingga menyebabkan sempadan Iraq-Syria menjadi tidak terkawal. ISI ditukar kepada Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) atau ISIL (bererti Levant). Kumpulan al-Qaeda di Syria tidak menerima kehadiran ISIS sehingga berlaku pertempuran antara mereka. Mujahidin lain di Iraq dan Syria juga menolak perjuangan kumpulan terbabit.

Majoriti rakyat dua negara terbabit juga menolak ISIS. Kewujudan ISIS di Syria dan Iraq menjadikan keadaan negara terbabit bertambah rumit dan menjadi tidak keruan. Di Syria, ia diburukkan lagi dengan kezaliman rejim Bashar al-Assad. Kekejaman ISIS dan juga Bashar memberi kesan cukup mendalam kepada rakyat Syria apabila berjutajuta orang menjadi pelarian dan ramai dibunuh secara kejam.

Abu Bakar al-Baghdadi pernah mendapat latihan ketenteraan di Israel dan juga bekas anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA). Dia pernah ditangkap tentera AS, dipenjarakan selama empat tahun di kem Bucca, selatan Iraq. Dia dianggap pakar strategi perang, pakar dalam pembunuhan kejam serta mampu mendapat dana bagi meneruskan operasinya.

Tindakan kejam ISIS

Antara tindakan ISIS yang kejam ialah menculik, membunuh dengan kejam tanpa bicara, melakukan serangan dengan memusnahkan setiap tempat yang mereka ceroboh, membunuh ulama yang menentang sama ada sunah mahupun Syiah selain menjadikan wanita yang menyertai perjuangan mereka sebagai hamba seks.

Ketika mengisytiharkan kerajaan khalifah, ISIS bertindak memusnahkan empat makam ulama sunah serta meruntuhkan enam masjid Syiah. Paling keji ialah apabila seorang wakilnya di Turki, Abu Turab al-Mugaddasi mengancam untuk menakluki Arab Saudi serta memusnahkan Kaabah.

Dia menuduh umat Islam yang mengerjakan haji bukannya menyembah Allah tetapi menyembah batu (laporan khas majalah Al-Islam, November 2014). ISIS juga bertanggungjawab dalam beberapa insiden pengeboman di Baghdad pada tahun 2009 yang mengorbankan 155 nyawa dan mencederakan lebih 700 orang. Pengeboman kedua pada Disember mengorbankan 127 nyawa serta mencederakan lebih 400 orang.

Kumpulan militan itu juga dipercayai terbabit dalam serangan bom di sebuah masjid di Baquba membunuh 28 orang termasuk seorang pemimpin Hamas Iraq. Perjuangan IS juga ada kaitannya dengan krisis dalaman dan persaingan antara pelbagai puak militan. Perjuangan yang dilakukan ISIS itu tidak ubah seperti pada tahun 2006 di mana sebuah kumpulan diketuai oleh Abu Umar al-Baghdadi mengisytiharkan kebangkitan pemerintahan khalifah di Iraq namun ditolak masyarakat Islam.

Usaha pecahkan Iraq

Sejak AS menakluki Iraq pada tahun 2003, Washington merangka sebuah perlembagaan yang bukannya bertujuan menyatukan kembali Iraq tetapi ia mengandungi benih perpecahan berasaskan kaum dan puak yang terus bercambah hingga ke hari ini. Sementelah pula pemimpin direstui AS menerajui Iraq adalah diktator yang langsung tiada toleransi yang menzalimi dan menindas rakyatnya, terutama di wilayah utara dan barat Iraq menyebabkan api kebencian menyemarak sehingga melahirkan beberapa kumpulan militan. Pada masa sama berlaku ketegangan antara kumpulan terbabit terutama militia bersenjata Syiah dan sunah, ISIL.

Selain itu, ejen AS dan Britain yang tidak mahu Iraq bersatu terus memainkan peranan memecah-belahkan rakyat Iraq sehingga mereka bermusuhan dan berbunuhan antara satu sama lain. Setiap kumpulan bertelagah sesama sendiri merebut wilayah. Iraq terus menjadi sebuah negara rapuh sehingga tidak mampu berhadapan dengan musuh sebenar iaitu AS dan sekutunya. Amerika dan sekutunya terus mencatur negara itu semahunya dengan terus menyemarakkan benih perpecahan berasaskan mazhab.

Usah terpengaruh Rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan umat Islam tidak sepatutnya terpengaruh dengan perjuangan mereka kerana tindak-tanduk serta perlakuan kumpulan militan itu tidak menggambarkan akhlak dan adab jihad Islam yang sebenarnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentang kertas putih mengenai kumpulan terbabit menyebut penyelewengan ajaran Islam oleh IS juga semakin ketara apabila mudah mengkafirkan orang Islam yang tidak sehaluan dengan pergerakan itu dan menghalalkan pembunuhan oleh mereka.

Tidak hairanlah, ulama menggelar mereka sebagai Khawarij zaman moden. Tegasnya, IS adalah kumpulan militan yang berakar umbi dari al- Qaeda sudah diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh masyarakat dan ulama antarabangsa. Perjuangan IS tidak dapat pengiktirafan ulama dunia Islam tersohor termasuk Profesor Dr Yusuf al- Qaradawi. Untuk membina negara berteraskan pemerintahan khalifah adalah penting untuk dilaksanakan berdasarkan syariah yang ditetapkan. Hakikatnya, perjuangan kumpulan IS tidak lebih daripada pengganas yang cuba berkuasa melalui pertumpahan darah.

Kerajaan melihat potensi ancaman kumpulan IS terhadap negara tidak dapat dinafikan berikutan kepulangan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Syria dan Iraq. Justeru, pada 26 November lalu, Najib membentangkan Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan IS' di Dewan Rakyat bertujuan mendedahkan wajah sebenar IS yang bertopengkan Islam.

Dalam pembentangan itu, Najib mencadangkan undang-undang baharu digubal untuk membanteras dan bertindak terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas. Kertas putih itu turut mencadangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dan Kanun Keseksaan diperkukuhkan lagi. Cadangan itu amat wajar ketika ancaman IS sudah merebak di negara ini.

Berita Harian X