Sabtu, 10 Januari 2015 | 2:15am

Khutbah Jumaat: Hidup positif kecap kemanisan iman

KHUTBAH Jumaat diperdengarkan kepada jemaah masjid. - Foto hiasan
KHUTBAH Jumaat diperdengarkan kepada jemaah masjid. - Foto hiasan

Sesungguhnya mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek penting yang wujud dalam diri manusia sama ada yang bertamadun atau tidak, beragama atau tidak beragama. Ketiga-tiga aspek itu diisi oleh Islam berdasarkan panduan wahyu dengan nama iman, Islam dan ihsan.

Iman adalah kepercayaan atau akidah. Islam adalah pengamalan atau syariat, manakala ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman, Islam dan ihsan itu paksi kepada agama Islam seperti mana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

Ketiga-tiga paksi agama Islam itu mestilah diambil berat oleh setiap Muslim secara seiringan tanpa boleh dipisahkan. Apabila lengkap ketiga-tiga paksi itu maka lengkaplah penghayatan Islam seseorang.

Sesungguhnya, kemanisan iman bermaksud perasaan gembira melakukan ibadah dan sanggup menanggung kesukaran demi mendapatkan keredaan Allah SWT serta rasul-Nya. Taatilah segala suruhan, larangan serta mengutamakan Allah SWT dan rasul-Nya lebih daripada segala-galanya.

Rasulullah SAW menjelaskan, kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan penghayatan Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad SAW itu sebagai rasulnya.

Kemanisan iman penting bagi setiap Muslim kerana apabila kemanisan iman telah bertapak di jiwa seseorang Muslim maka dia tidak lagi malas, bosan, penat dan cuai sebaliknya sentiasa semangat, rajin serta cergas dalam melaksanakan segala tuntutan Islam.

Muslim yang mengecapi kemanisan iman pastinya sentiasa positif dalam kehidupannya. Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, apabila dia mendapat musibah dia bersabar. Jiwanya sentiasa reda, syukur dan bahagia.

Hatinya sentiasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Dirinya sentiasa merasakan keberadaan dan pengawasan Allah SWT dengan kehidupan yang bertunjangkan kepada penghayatan ihsan.

Rasulullah SAW telah memberi panduan dengan kaedah yang jelas untuk merasa kemanisan iman. Riwayat Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan merasai kemanisan iman iaitu dia menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada yang lain daripada keduanya; dia mencintai saudaranya tiada lain cintanya itu melainkan kerana Allah SWT semata-mata; dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka."

Melalui panduan hadis itu, kemanisan iman boleh diusahakan dengan mencintai Allah SWT lebih daripada segala-galanya. Cinta kepada Allah SWT menghasilkan kemanisan iman pada tahap tertinggi. Melaluinya jiwa sentiasa tenang dan hati sentiasa dipandu oleh petunjuk-Nya.

Kedua, mencintai Rasulullah SAW selepas cintanya kepada Allah SWT kerana cinta kepada Allah SWT tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada kekasih-Nya, Muhammad bin Abdullah. Sesungguhnya Baginda utusan Allah SWT yang menyampaikan segala perkara dikehendaki oleh Allah SWT.

Melalui Baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah SWT dan mengetahui segala perintah serta larangan-Nya. Kedudukan Baginda tiada taranya, Baginda insan teragung dan rasul terulung. Sesungguhnya, untuk mendapat cinta Allah SWT maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah SAW.

Ketiga, mencintai saudaranya kerana Allah SWT semata-mata. Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling kenal mengenali. Justeru, kemanisan iman ialah dengan mencintai saudaranya hanya kerana Allah SWT.

Hubungan persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan, harta atau pangkat tetapi hubungan yang wujud hanya kerana Allah SWT semata-mata. Persaudaraan menjamin keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi sesebuah masyarakat bukan sahaja di dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat.

Keempat, membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran. Mukmin yang mencapai kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah SWT apabila beroleh kebaikan dan apabila ditimpa kesusahan dia kufur.

Antara cara meningkatkan keimanan ialah memahami serta menghayati zat, perbuatan dan sifat Allah SWT. Memahami dan menghayati ayat al-Quran sebagai panduan dalam mencapai kebahagiaan, memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan, masa serta tempat.

Mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW serta mencontohi akhlak Baginda. Sentiasa bersama dengan ilmuwan, ahli ibadah, teman soleh solehah yang sentiasa mengingatkan kealpaan kita terhadap Allah SWT serta berdoa memohon petunjuk daripada Allah SWT supaya menetapkan hati kita dalam ketaatan.

* Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Berita Harian X