Ahad, 12 Oktober 2014 | 5:47am

Ibadah haji bukti cinta umat Islam

Berlalu sudah 10 Zulhijah dan kita menyaksikan sambutan Aidiladha yang berbeza berlaku di negara kita dan di Kota Makkah. Bersyukurlah bagi setiap Muslim yang beroleh dua kelebihan Aidiladha, iaitu berkesempatan menunaikan solat sunat hari raya yang hanya dikurniakan setahun sekali dan tambah syukur bagi yang beroleh kurniaan rezeki dapat menunaikan ibadah korban.

Ternyata suasana sambutan Aidiladha adalah berbeza dengan Aidilfitri kerana pada hari ini kebiasaannya imam bersegera untuk menunaikan solat sunat dan membaca khutbah demi mengejar masa untuk aktiviti ibadah korban pula. Allah berfirman dalam surah al Kauthar ayat 2-3 yang bermaksud: "Oleh itu kerjakanlah solat (Aidiladha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)."

Maka sebagai makmum dan ahli masyarakat setiap Muslim itu seharusnya peka dan tidak mengambil mudah dengan beranggapan bahawa Aidiladha tiada yang istimewa melainkan hanyalah hari untuk berkumpul dan makan bersama keluarga tanpa penghayatan yang sebenar. Kebanyakan Muslim hari ini kurang pengetahuan berkenaan perkara penting dan istimewa yang berlaku di dalam sejarah Islam sehingga kurang prihatin untuk menyedari bahawa sesungguhnya hari-hari pertama di awal Zulhijah adalah istimewa nilainya di sisi Allah. Rata-rata kita melihat, kebanyakannya tidak merayakan Aidiladha seperti Aidilfitri, malah ada yang mengambil sikap sambil lewa hanya tidur dari pagi sehingga ke petang begitu saja, sama seperti menyambut hari cuti umum atau cuti hujung minggu.

Pengorbanan Nabi Ibrahim

Ibadah korban adalah sunat muakkad bagi umat Islam dan ia adalah ibadah yang dituntut kerana ia membawa kebaikan kepada diri individu, keluarga dan masyarakat setempat. Ibadah korban ini dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail as kerana taat kepada perintah Allah. Sesungguhnya perintah Allah ketika itu adalah satu ujian ke atas Nabi Ibrahim as. Oleh kerana baginda benar-benar taat, lalu Allah menggantikan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang lain. Antara hikmah di sebalik pelaksanaan ibadah korban ini ialah dapat membentuk jiwa agar benar ikhlas kerana kita perlu mengeluarkan sejumlah perbelanjaan yang besar demi membantu orang lain di sekeliling kita. Dengan itu kehidupan bermasyarakat akan menjadi lebih erat kerana melalui pengagihan daging korban, akan adanya jalinan kasih sayang antara yang memberi dan menerima, antara golongan tidak bernasib baik dan golongan dermawan.

Sesungguhnya ibadah korban itu bukan sekadar menyembelihkan haiwan sembelihan, bukan juga sekadar menyerahkan bahagian daging kepada ahli masyarakat, namun ia berkaitan juga dengan persediaan sebelum dan selepas ibadah korban itu dilaksanakan. Bagaimana kita meletakkan niat di dalam hati berkorban demi Allah dan bagaimana kita meletakkan ketepi segala halangan dan ujian yang berlaku ketika aktiviti itu berlangsung. Terkadang berlaku pelbagai kekalutan yang tidak disangka sebelum ibadat korban dapat disempurnakan seperti terlepas lembu, atau lembu yang ditunggu tidak muncul tiba, mungkin juga tukang sembelih lembu tiba-tiba sakit, atau duit untuk membayar bahagian korban tiba-tiba tidak mencukupi. Malah ada juga berlaku perselisihan faham memungkinkan ada pihak yang berkecil hati ketika aktiviti melapah dan membahagikan daging korban. Semua ini adalah ujian dan halangan awal kepada hati kita sama ada semangat kita untuk beribadat korban itu benar-benar jitu dan tidak goyah sehingga selesainya majlis. Bagi hati yang benar tulus akan berasa tenang dan gembira walau tarikh 10 Zulhijah itu sudah berlalu.

Bulan Istimewa

Bulan Zulhijah adalah satu kelebihan dan kurniaan Allah kepada orang Islam kerana bulan ini adalah bulan yang dikhususkan untuk umat Islam mengerjakan haji. Ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim tanpa mengira jantina, pangkat dan usia apabila telah cukup syaratnya. Firman Allah di dalam surah al Baqarah ayat 196 yang bemaksud: "Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah". Ibadah haji adalah sangat istimewa kerana ia menuntut pengorbanan sebenar seorang Muslim yang mengakui beriman kepada Allah dan Rasul, ia bukan saja sekadar meninggalkan pakaian yang mewah dan sempurna malah menuntut pengorbanan harta benda, meninggalkan keluarga, pekerjaan dan segala urusan duniawi secara sepenuhnya. Ternyata pelaksanaan ibadah haji merupakan 'bukti' terakhir kita kepada Allah bahawa lafaz syahadah yang diucap siang dan malam itu benar-benar datang dari hati yang cintakan Allah dan Rasul kerana ibadah haji menuntut penonjolan diri sebenar pelakunya bagaimana individu itu menonjolkan dirinya dan mempamerkan cintanya yang sebenarnya.

Berita Harian X