Sabtu, 20 September 2014 | 9:24am

Rejim percukaian baharu tak membebankan

 MOHAMED Jawhar (tengah), bersama Siti Halimah dan Dr White (kanan) pada Seminar Antarabangsa GST 2014 di Sasana Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof
MOHAMED Jawhar (tengah), bersama Siti Halimah dan Dr White (kanan) pada Seminar Antarabangsa GST 2014 di Sasana Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof

KADAR enam peratus bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan kerajaan yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2015 adalah antara yang terendah di dunia dan rejim percukaian itu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil daripada cukai pendapatan.

Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan daripada hasil minyak kerana komoditi itu yang menyumbang sebanyak 30.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan negara pada tahun 2013 adalah sumber yang akan berkurangan.

Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Siti Halimah Ismail, berkata GST dilaksanakan kerana kelemahan dalam cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang menyaksikan berlakunya antaranya cukai berganda serta pemindahan harga berbanding GST yang kurang birokrasi, mempunyai elemen semakan silang dan meningkatkan pematuhan cukai.

Kadar cukai sifar

Bercakap ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Model GST Malaysia' pada Seminar Antarabangsa GST 2014, beliau berkata, rejim cukai baharu itu juga tidak akan membebankan kerana ia akan turut membabitkan barangan dengan kadar cukai sifar antaranya makanan, keluaran pertanian, makanan laut serta barangan dan perkhidmatan eksport, di samping barangan yang dikecualikan seperti pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta tanah untuk kegunaan am.

Selain itu kerajaan juga katanya, menetapkan pembekalan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan serta yang dibuat di antara atau dalam lingkungan kawasan ditentukan seperti Langkawi, Tioman dan Labuan adalah tidak tertakluk kepada GST.

Skim khas turut dilaksanakan antaranya skim bayaran balik pelancong, skim peniaga yang diluluskan, skim margin dan skim gudang, katanya.

Siti Halimah berkata, barangan yang dikategorikan berkadar sifar dan dikecualikan adalah berdasarkan corak kepenggunaan.

Katanya, GST turut memperkenalkan pakej bantuan kepada pengguna dan perniagaan yang mana bagi pengguna antaranya adalah pengurangan cukai pendapatan peribadi antara satu peratus ke tiga peratus bagi semua kumpulan pendapatan dikenakan cukai dan meningkatkan band pendapatan tertinggi dikenakan cukai daripada RM100,000 kepada RM400,000 menjadikan kadar maksimum 26 peratus dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus.

Pakej bantuan perniagaan

Bagi perniagaan pula, pakej bantuan meliputi pengurangan satu peratus cukai pendapatan korporat daripada 25 peratus kepada 24 peratus dan pengurangan cukai pendapatan korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana daripada 20 peratus kepada 19 peratus, katanya.

Katanya, selain itu kerajaan juga memberikan pengurangan kadar cukai pendapatan koperasi sebanyak satu peratus kepada dua peratus daripada 25 peratus kepada 24 peratus, potongan cukai untuk yuran setiausaha sehingga RM5,000 dan yuran fail cukai sehingga RM10,000.

Siti Halimah berkata, GST dilaksanakan bagi memodenkan sistem percukaian di negara ini selain mengatasi kekurangan pada sistem percukaian semasa juga memberi peluang bagi Malaysia meningkatkan kestabilan ekonomi.

Sementara itu, pada sesi dikendalikan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Profesor Madya Dr David White dari Sekolah Perakaunan dan Undang-Undang Komersial, Victoria University of Wellington New Zealand, berkata berbanding Malaysia, New Zealand mengenakan VAT untuk semua barangan dan perkhidmatan termasuk urusan pengebumian.

Katanya, ketika VAT hendak diperkenalkan negaranya menilai sistem percukaian kebangsaan beberapa negara bagi memastikan cukai yang dilaksanakan untuk kebaikan negara dan rakyat dengan melihat kebaikan dan kelemahan.

 Selepas dilaksanakan didapati VAT meningkatkan pendapatan negara dengan agak baik dan Malaysia perlu melaksanakannya kerana ia mampu memberikan pendapatan diperlukan, katanya.

Berita Harian X