PEMBELIAN produk menerusi platform e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) dilihat kian berkembang terutama ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.
Keadaan ini membawa perubahan dalam keutamaan pengguna untuk membeli-belah dalam talian sekali gus mewujudkan jalan untuk pertumbuhan pasaran e-dagang B2B.
Situasi ini disokong laporan Grand View Research, yang menyatakan saiz pasaran e-dagang B2B global bernilai USD6,883.47 bilion pada 2021 bakal berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 19.7 peratus dari 2022 hingga 2030.
Lebih menarik, permintaan eksponen global untuk produk halal juga tidak lagi terhad kepada produk berkaitan makanan dan minuman, sebaliknya merangkumi farmaseutikal, kosmetik, produk kesihatan, peralatan mandian dan peranti perubatan.
Komponen sektor perkhidmatan seperti logistik, pemasaran, media cetak dan elektronik, pembungkusan, penjenamaan, dan pembiayaan turut mendapat permintaan.
Rancangan Malaysia Ke-12 juga telah mengenal pasti industri halal sebagai sumber strategik pertumbuhan ekonomi dengan hasil eksport berjumlah RM56 bilion pada tahun 2025.
Selain itu, Alibaba.com turut menunjukkan peningkatan sebanyak 39 peratus dalam pertanyaan pembeli untuk produk halal dari tahun 2020 hingga 2021, dengan 21 peratus daripada pertanyaan tersebut ditujukan kepada pembekal Malaysia.
Perkembangan ini memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengembangkan perniagaan eksport mereka dengan meneroka pasaran halal antarabangsa menerusi langkah pemasaran serta penjenamaan yang lebih strategik dan agresif.
Justeru, bagi membantu PKS Malaysia memperkukuh penguasaan pasaran halal antarabangsa mereka, Alibaba.com melancarkan Pavilion Halal yang menampilkan pelbagai produk halal buatan Malaysia.
Majlis pelancaran yang bertempat di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022, telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Sebagai permulaan, Pavilion Halal bakal menampilkan pembekal produk halal Malaysia yang bertauliah dari pelbagai kategori dengan penekanan lebih terhadap produk makanan dan minuman.
Pembekal boleh menjangkau pembeli dari lebih 190 buah negara melalui Alibaba.com dengan perkhidmatan menyeluruh menerusi satu platform.
Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan, Asia Pasifik, Alibaba.com, Nianci Phang, berkata dengan peralihan pembeli B2B kepada e-dagang berikutan pandemik global, mereka melihat aliran menaik dalam pertanyaan global terhadap produk halal di Alibaba.com.
"Usaha memperkenalkan pavilion khusus untuk produk halal bukan sahaja suatu langkah penting ke arah menjadikan pasaran kami lebih inklusif, tetapi merupakan sebahagian daripada komitmen kami meningkatkan ketampakan pembekal Malaysia dalam pasaran antarabangsa terutama dalam bidang yang memberikan kelebihan kepada mereka," kata Phang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, perlu untuk PMKS menyertai golongan berjaya di platform seperti Pavilion Halal Alibaba.com.
"Ini untuk mempertingkatkan ketampakan jenama dan meraih akses eksport yang lebih besar daripada pasaran e-dagang B2B global semasa yang bernilai USD7.9 trilion."
Antara pasaran pembeli terkenal yang menghantar pertanyaan tersebut termasuk Brazil, Indonesia, Pakistan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Tawar perkhidmatan komprehensif
Manfaat menyertai Alibaba.com telah dirasai oleh pengeluar makanan ringan halal, Yong Mama, yang sejak 20 tahun lalu hanya menumpukan jualan produk dalam pasaran domestik serta mengeksport secara berskala kecil ke Singapura.
Berpangkalan di Perak, Yong Mama mula menyertai Alibaba.com pada tahun 2020 selepaswabak COVID-19 melanda dunia.
Sejak itu, jumlah pengeluaran mereka untuk eksport telah melonjak 80 peratus selain menerima pertanyaan daripada Brunei, Mesir, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Selain Singapura, Yong Mama turut berjaya meningkatkan eksport ke Korea Selatan dan dalam tempoh enam bulan selepas mendapat pertanyaan pertama dari Kemboja, mereka telah memenuhi bukan satu tetapi pesanan ulangan kali kedua.
"Untuk berkembang dalam pasaran e-dagang B2B global, perniagaan Malaysia perlu membangunkan strategi yang jelas.
"Pertama, kenal pasti arah aliran pasaran yang disasarkan dan produk yang betul untuk dieksport.
"Fahami dan patuhi peraturan dalam setiap pasaran, sambil membuka mata untuk peluang baharu.
"E-dagang membolehkan Yong Mama berkembang daripada PKS yang hanya menyasarkan pelanggan domestik sehingga menjadi sebuah syarikat global," kata Pengasas Bersama Yong Mama Food Industries Sdn Bhd, H.G Cheah.
Sebagai satu-satunya pasaran B2B di Malaysia yang menawarkan pengalaman perdagangan digital menyeluruh, Alibaba.com menyediakan pengeksport PKS Malaysia dengan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif.
Ia mencakupi pengurusan kedai dalam talian, sokongan penterjemahan, pemasaran dan penyumberan digital, urus niaga dalam talian, logistik, pelepasan kastam, serta pertukaran asing dan analisis platform.
Selain itu, Alibaba.com turut bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan bagi menawarkan sokongan khusus pasaran tambahan seperti webinar perkongsian pengetahuan dan pandangan pakar.
Rakan kongsi saluran tersebut merangkumi Exabytes, Innovative Hub, Newpages dan Trinity42.
Lebih menarik, pembekal Malaysia di Alibaba.com juga boleh menikmati manfaat daripada perkhidmatan Trade Confidence, sebuah perkhidmatan perlindungan tempahan.
Trade Confidence direka khusus bagi melindungi pembeli sekiranya berlaku pertikaian berkaitan pembayaran, pengiriman dan kualiti produk sekali gus mewujudkan kepercayaan antara pembeli dengan pembekal.
Pavilion Halal terbuka kepada semua pembekal Malaysia di Alibaba.com yang mempunyai sijil sah halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia berada pada kedudukan baik bagi memanfaatkan peluang rentas sempadan dengan infrastruktur sedia ada termasuk Hab elektronik World Trade Platform (eWTP) pertama di luar China.
Kemudahan ini dapat membantu mengurangkan halangan perdagangan antarabangsa supaya PKS turut boleh menikmati manfaat daripada ekonomi digital global.
PKS yang masih belum menyertai Alibaba.com boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Alibaba.com dan mendaftar sebagai ahli menerusi pautan ini.