Isnin, 4 April 2022 | 11:26am

UDA Dayaurus yakin potensi khidmat pengurusan fasiliti

UDA Dayaurus Sdn Bhd (UDA Dayaurus) optimis perkhidmatan pengurusan fasiliti akan menjadi keutamaan dan meningkat di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan, UDA Holdings Berhad, Azrudyn Rashid, berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini sebanyak 5.8 peratus akan memacu beberapa industri utama seperti perkhidmatan, hartanah, makanan dan pembinaan.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan memberikan lonjakan kepada permintaan terhadap perkhidmatan pengurusan fasiliti dan perniagaan yang berkaitan.

Katanya, dari segi ramalan global, unjuran saiz pasaran bagi pengurusan fasiliti di Malaysia adalah sebanyak AS$217.6 juta.

"Bagaimanapun, pasaran pengurusan fasiliti ketika ini sedang mengalami transformasi besar yang dipacu oleh inovasi teknologi, model perniagaan baharu, cadangan nilai yang muncul dan desakan untuk mencipta tawaran perkhidmatan baharu.

"Di Malaysia, termasuk negara pasaran utama yang lain, terdapat keperluan untuk inovasi dan cadangan nilai baharu untuk mengurangkan kelebihan daya saing serta sebagai langkah untuk pembekal mengelakkan perangkap kos tinggi," katanya dalam satu temubual bersama BH.

Azrudyn berkata, skop kerja pengurusan fasiliti tertentu akan mempunyai pertumbuhan dan permintaan yang lebih tinggi berbanding dengan perkhidmatan pengurusan fasiliti konvensional seperti pembersihan, landskap dan sistem elektrik.

Beliau berkata, masa depan pengurusan fasiliti adalah didayakan teknologi dan pandemik COVID-19 ini turut akan mempercepatkan penggunaan teknologi digital.

ImagePenggunaan teknologi seperti CMMS dan IoT membantu memudahkan pengurusan fasiliti.

Katanya, revolusi industri 4.0 (IR 4.0), aplikasi mudah alih Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS), Internet Untuk Kebendaan (IoT) dan ketersambungan lanjutan seperti penderia jauh dan sistem pemantauan, sistem automasi bangunan bersepadu, sistem keselamatan bersepadu, cekap tenaga dan bahan hijau akan memacu kecekapan untuk kedua-dua pembekal perkhidmatan dan pelanggan.

"Bangunan dengan kemudahan yang lebih hijau atau menggunakan tenaga yang lebih bersih seperti solar lebih disukai oleh pelanggan ketika ini. Ini kerana, ia mempunyai kesan yang kurang terhadap alam sekitar dan lebih menjimatkan kos untuk dikendalikan dan diselenggara.

"Tambahan pula, disebabkan keperluan pihak berkuasa yang ketat dan disebabkan oleh cabaran dalam perancangan tenaga kerja, penggunaan teknologi akan dapat mengatasi dan mengurangkan cabaran ini.

"Pelanggan yang mampu membeli penggunaan teknologi untuk bangunan mereka dan untuk meningkatkan penggunaan pengurusan aset mereka akan melabur dalam teknologi ini," katanya.

Mengulas lanjut, Azrudyn berkata, UDA Dayaurus mempunyai pengalaman meluas dalam bidang perkhidmatan pengurusan fasiliti lebih daripada 40 tahun.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, kumpulan sudah menguruskan projek pengurusan fasiliti di semua jenis bangunan termasuk bangunan moden dan lama, bangunan yang diperakui GBI, bangunan tinggi termasuk menara berkembar tertinggi di dunia, bangunan rendah, hospital, kondominium, hotel, kilang, kompleks beli-belah, kompleks pejabat serta bilik pameran.

ImageUDA Dayaurus mempunyai barisan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang bagi memastikan pengurusan fasiliti yang lebih baik.

Katanya, sepanjang tempoh itu, kumpulan sudah membina kecekapan dan keupayaan tenaga kerja yang kukuh.

"Sebagai anak syarikat di bawah UDA Holdings Berhad, UDA Dayaurus mempunyai keupayaan 50 tahun dalam pembangunan dan pengurusan hartanah.

"Di bawah bidang kuasa UDA dan disokong oleh sinergi syarikat subsidiari lain, kami mempunyai kapasiti untuk menyediakan perkhidmatan bersepadu dan komprehensif dalam pengurusan fasiliti termasuk perkhidmatan nilai tambah lain seperti pengurusan hartanah dan perhotelan," katanya.

Azrudyn berkata, UDA Dayaurus turut menggunakan teknologi terkini termasuk CMMS, RFID dan pelbagai teknologi lain dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing perkhidmatan.

Beliau berkata, UDA Dayaurus menawarkan perkhidmatan pengurusan fasiliti fleksibel yang memenuhi dan disesuaikan dengan pelbagai keperluan pelanggan.

Selain itu, katanya, UDA Dayaurus menawarkan skop perkhidmatan berkaitan yang lebih luas, sejajar dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti tenaga boleh diperbaharui.

Berita Harian X