Jumaat, 7 Julai 2017 | 5:15pm
KERAJAAN Indonesia mencadangkan kepada Parlimen untuk menaikkan perbelanjaan dan mengurangkan sasaran pendapatan tahun ini. - Foto hiasan
KERAJAAN Indonesia mencadangkan kepada Parlimen untuk menaikkan perbelanjaan dan mengurangkan sasaran pendapatan tahun ini. - Foto hiasan

Defisit Indonesia dijangka meningkat

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mencadangkan kepada Parlimen untuk menaikkan perbelanjaan dan mengurangkan sasaran pendapatan tahun ini yang mana mengakibatkan defisit bajet lebih besar yang hampir mencecah had perundangan, demikian menurut dokumen kerajaan.

Berdasarkan undang-undang Indonesia, gabungan bajet defisit antara kerajaan pusat dan wilayah dalam tempoh setahun tidak boleh melebihi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Cadangan semakan bagi bajet kerajaan pusat 2017 yang dikeluarkan pada Khamis akan mewujudkan defisit fiskal 2.92 peratus, demikian menurut dokumen Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, kementerian berkenaan berkata, semakan itu tidak bermakna batas had perundangan tiga peratus mungkin dilepasi kerana secara asasnya bukan semua bajet yang diluluskan dibelanjakan.

Pada pandangan kementerian, defisit fiskal tahun ini akan berada pada 2.67 peratus daripada KDNK. Melepasi jangkaan bajet asal iaitu 2.41 peratus, jauh di bawah tiga peratus.

Dokumen itu menunjukkan kementerian itu menjangkakan pendapatan berkurangan 36.16 trilion rupiah (RM11.6 bilion) pada 2017 daripada jumlah pendapatan susulan pungutan cukai awal yang kurang daripada jangkaan.

Ia mengurangkan jumlah pendapatan kepada 1,714.13 trilion rupiah (RM549 bilion).

Rancangan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan sebanyak 30.91 trilion rupiah (RM9.9 bilion) yang meningkatkan perbelanjaan bajet keseluruhan kepada 2,111.36 trilion rupiah (RM676.6 bilion).

Ia termasuk cadangan perbelanjaan tambahan yang diperuntukkan lebih besar untuk infrastruktur perhubungan, menambah baik penjara dan persiapan Sukan Asia 2018 di mana Indonesia menjadi hos.

Kerajaan juga bercadang menaikkan subsidi tenaga 33.4 peratus kepada 103.11 trilion rupiah (RM33 bilion) susulan harga minyak global lebih tinggi.

Cadangan semakan itu memerlukan kelulusan Parlimen yang akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan kerajaan.

- Reuters

Berita Harian X