Rabu, 5 Julai 2017 | 3:26pm

Volvo bakal keluar model elektrik, hibrid sepenuhnya

Ketua Eksekutif Volvo Cars, Hakan Samuelsso.
Ketua Eksekutif Volvo Cars, Hakan Samuelsso.

STOCKHOLM: Syarikat Automotif milik Geely, Volvo Car Group, mengumumkan semua model yang dilancarkan mulai 2019 akan menjadi model elektrik dan hibrid sepenuhnya, sekali gus menamatkan sejarah jenama Volvo dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman selama hampir satu abad.

Syarikat berpangkalan di Gothenburg, Sweden itu akan terus menghasilkan model Volvo enjin pembakaran dalaman sebelum tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, ia akan memperkenalkan semua barisan model yang dimiliki menerusi kereta elektrik sepenuhnya dan hibrid plug-in.

Rancangan Volvo menjadikannya sebagai pengeluar automotif tradisional pertama yang menetapkan tempoh bagi fasa lengkap bagi model enjin pembakaran dalaman kepada elektrik yang sekian lama menjadi kunci di seluruh industri dengan Tesla Motors Elon Musk menjadi pembuat kereta berasaskan bateri yang pertama.

"Pengumuman ini menanda berakhirnya era kereta berasaskan pembakaran dalaman," kata Ketua Eksekutif Volvo Cars, Hakan Samuelsson dalam satu kenyataan.

Lima model baharu dijangka dilancarkan pada 2019 hingga 2021 dengan tiga daripadanya menerusi jenama Volvo dan dua daripada Polestar di mana ia menjadi kereta elektrik sepenuhnya atau secara berperingkat.

"Lima model ini akan tambahan kepada barisan model petrol dan diesel hibrid plug-in dan model pilihan hibrid sederhana 48 volt," kata Volvo.

"Ia bermakna selepas ini tiada lagi kereta Volvo tanpa motor elektrik."

Volvo sudah melabur secara besar-besaran bagi model baharu dan kilang pembuatan sejak ia diambilalih oleh Zhejiang Geely Holding Group daripada Ford Motor Co pada 2010, sekali gus menyertai pasaran automotif premium khusus yang didominasi oleh pesaing seperti Daimler Mercedes-Benz dan BMW.

Sebahagian daripada strategi juga adalah untuk memacu teknologi baharu yang menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi seterusnya kenderaan pemanduan kendiri. - Reuters

Berita Harian X