Khamis, 22 Jun 2017 | 8:35am

Pasaran saham AS susut

NEW YORK: Indeks saham S&P 500 dan Dow Jones susut berikutan kejatuhan saham tenaga disebabkan penurunan harga minyak.

Ia menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap potensi berlakunya inflasi. Bagaimanapun, saham penjagaan kesihatan dan teknologi membantu menaikkan indeks Nasdaq Composite.

Sektor tenaga menjadi sektor paling lemah dalam S&P dengan kejatuhan 1.6 peratus harga minyak pada dagangan sesi pagi semalam dan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencecah paras terendah sejak Ogos.

Ketua Pelaburan di Cornerstone Financial Partners, Chris Zaccarelli berkata kelemahan berterusan dalam kontrak hadapan minyak menambahkan kebimbangan pelabur mengenai inflasi dan ia memberi kesan kepada bank dan industri.

Saham bank susut 0.8 peratus berikutan kebimbangan pelabur mengenai kadar faedah margin akan terjejas berikutan krisis hasil.

Saham industri juga mengalami penurunan terbesar dengan penyusutan sehingga 0.7 peratus. Saham Caterpillar susut sebanyak 3.3 peratus dan ia memberi kesan kepada sektor berkenaan.

Bagaimanapun, peningkatan saham FedEx sebanyak 1.6 peratus berjaya mengimbangi pasaran.

Indeks purata industri Dow Jones susut 57.11 mata, atau 0.27 peratus untuk ditutup kepada 21,410.03, S&P 500 susut 1.42 mata atau 0.06 peratus kepada 2,435.61 dan indeks Nasdaq Composite menokok 45.92 mata atau 0.74 peratus kepada 6,233.95.

Indeks tenaga telah mengalami penyusutan sebanyak 14.9 peratus tahun ini berbanding dengan kenaikan 8.9 peratus bagi S&P 500. Kontrak hadapan minyak pula susut sekitar 21 peratus setakat ini. - Reuters

Berita Harian X