Selasa, 20 Jun 2017 | 9:13am

Harga minyak dunia susut satu peratus

NEW YORK: Harga minyak dunia susut satu peratus semalam ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.

Ia berikutan peserta pasaran melihat lebih banyak petunjuk peningkatan hasil minyak mentah di Amerika Syarikat (AS), Libya dan Nigeria dan ia memberi kesan kepada usaha yang diketuai oleh OPEC untuk menyokong pasaran.

Presiden Lipow Oil Associates di Houston, Andrew Lipow berkata, pihaknya melihat lebih banyak tangki digunakan untuk penyimpanan minyak mentah daripada Afrika Barat dan Eropah ditawarkan ke Pantai Teluk AS.

"Ini adalah sebahagian daripada petunjuk pasaran yang terlebih bekalan," katanya.

Niaga hadapan Brent bagi Ogos susut 46 cents atau satu peratus untuk ditutup kepada AS$46.91 setong, paras terendah sejak 29 November lalu.

Sementara itu, kontrak U.S West Texas Intermediate (WTI) bagi Julai pula susut 54 cents atau 1.2 peratus untuk ditutup kepada AS$44.20 setong, paras terendah sejak 14 November lalu.

Kontrak Julai akan berakhir pada hari ini dan kontrak Ogos akan menjadi petunjuk utama.

Kedua-dua minyak penanda aras itu susut lebih daripada 15 peratus sejak Mei lalu selepas pengeluar melanjutkan perjanjian pengurangan hasil kepada 1.8 juta tong sehari selama sembilan bulan.

Terdapat lebih 70,000 kontrak WTI bagi penghantaran Julai yang masih tertunggak dan ia memerlukan penghantaran sekitar 70 juta tong minyak ke daerah Cushing, Oklahoma selepas tempoh berkenaan tamat.

Pengurus di PSW Investments, Phil Davis berkata, tekanan berlaku kerana sukar untuk menghabiskan sebegitu banyak kontrak dalam tempoh dua hari.

"Hanya segelintir peniaga mahu melakukan penghantaran secara fizikal," katanya. - Reuters

Berita Harian X