Khamis, 1 Jun 2017 | 3:02pm

Iskandar Malaysia catat pelaburan RM59.36b sektor pembuatan

KETUA Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim. - Foto Saddam Yusoff

KULAI: Iskandar Malaysia mencatat pelaburan komited terkumpul sebanyak RM59.36 bilion dalam sektor pembuatan dari 2006 hingga Mac lalu.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, berkata sektor pembuatan sentiasa menjadi bidang utama di Iskandar Malaysia, selain turut memberi fokus kepada aktiviti pembuatan mesra alam.

"Bidang elektrik dan elektronik menyumbang kira-kira 30 peratus dalam sektor pembuatan di Iskandar Malaysia dan ia juga berkembang pesat seiring bagi memenuhi keperluan pasaran dan pelanggan.

"Sejak Iskandar Malaysia ditubuhkan pada 2006, ia berjaya menarik pelaburan komited terkumpul sejumlah RM227.67 bilion hingga Mac lalu dengan 56 peratus projek dalam pelbagai sektor berjaya direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan tambahan Beyonics Precision (Malaysia) Sdn Bhd, di Taman Perindustrian I-Park di Indahpura di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Beyonics International Pte Ltd, Scott D Smith.

Beyonics International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura adalah pengeluar produk elektronik berprestasi tinggi, plastik kejituan tinggi dan komponen logam antaranya membabitkan bidang automotif dan perubatan.

Sementara itu, Smith berkata, sejak beroperasi pada 2015 di I-Park, pihaknya sudah melabur kira-kira RM60 juta membabitkan pembuatan elektronik serta acuan plastik.

"Selain di I-Park, kita juga mempunyai satu lagi kilang di Kota Tinggi, dekat sini dengan jumlah pekerja hampir 1,000 di kedua-dua kilang berkenaan.

"Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mencari pekerja berkemahiran tinggi yang sentiasa menjadi cabaran pihak kami," katanya.

Berita Harian X