Khamis, 1 Jun 2017 | 2:51pm

HTC U11 kini di pasaran Malaysia

gn4id:20927504

KUALA LUMPUR: HTC Malaysia memperkenalkan telefon pintar ikonnya, HTC U11 dengan kerangka boleh digenggam untuk melancarkan aplikasi yang ditawarkan pada harga RM3,099.

Peranti pintar yang menjadi tumpuan media ketika pertama kali diperkenalkan di Taiwan dua minggu lalu itu dibuka untuk pra-tempahan bermula semalam sebelum mula memasuki pasaran akhir bulan ini.

HTC U11 dilengkapi skrin 5.5-inci SLCD5 dengan resolusi QHD, dijana menggunakan cip Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM dan ruangan storan 128GB yang boleh dipertingkatkan menggunakan kad mikro-SD sehingga 2 TB.

Ia adalah telefon pintar pertama di dunia yang hadir dengan teknologi Edge Sense yang membolehkan anda memicit sisi telefon pintar anda untuk melakukan beberapa fungsi seperti mengambil gambar dan anda juga boleh mengubah jumlah kekuatan picitan anda.

HTC U11 ini mempunyai skrin QHD Super LCD 5 berukuran 5.5 inci dilapisi gelas keselamatan Gorilla Glass 5, pemproses Qualcomm Snapdragon 835, dua kapasiti RAM dan ROM iaitu 4GB/64GB dan 6GB/128GB selain boleh dipertingkatkan menggunakan kad mikro-SD sehingga 2 TB.

Bagi bahagian kamera pula, ia mempunyai kamera belakang 12 megapiksel dengan aperture f/1.7, pengstabilan imej optik, flash LED, sokongan rakaman video 4K dan video gerak perlahan pada kadar 120fps dengan resolusi 1080p.

Kamera HTC U11 disifatkan terbaik di antara kamera telefon pintar lain kerana telah diiktiraf DxOMark sebagai kamera terbaik di pasaran.

Bahagian hadapan pula, HTC 11 hadir dengan kamera 16 megapiksel dengan keupayaan merakam video 1080p dan fungsi selfie panorama.

Maxis menjadi syarikat telekomunikasi tunggal yang akan menawarkan pakej khas HTC U11 dan pra-tempahan boleh didapati di Lazada, 11Street dan laman Facebook HTC Malaysia.

INFO

HTC U11

* Memiliki USB Type-C , Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11ac, NFC, GPS, GLONASS, perakam audio 3D ( dengan 4 mikrofon)

* Bateri berkapasiti 3,000mAh dengan teknologi pengecasan Quick Charge 3.0, Android 7.1 Nougat dengan HTC Sense, HTC U-Sonic , pensijilan IP67 dan panel belakang berasaskan gelas.

* Tersedia dalam tiga warna iaitu Amazing Silver, Sapphire Blue dan Brilliant Black.

Berita Harian X