Khamis, 25 Mei 2017 | 9:34pm

Petron untung RM109j suku pertama

KUALA LUMPUR: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) memulakan 2017 dengan memberangsangkan apabila mencatat untung bersih RM109 juta pada suku pertama.

Ia enam kali lebih tinggi berbanding keuntungan bersih RM17 juta yang dicatat suku sama tahun sebelumnya.

PMRMB berkata, prestasi memberangsangkan itu disumbang pertumbuhan kukuh dalam jualan domestik, marjin keuntungan lebih baik dan keberkesanan operasi.

Jumlah jualan domestik PMRMB berkembang sebanyak tujuh peratus dipacu perniagaan peruncitan dan komersial.

"Pelancaran Blaze 100 Euro 4M dan Turbo Diesel Euro 5, kempen Fuel Happy dan pengembangan rangkaian agresif adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan itu.

"Sementara itu, perniagaan komersial dilonjakkan peningkatan jualan dalam bahan api jet, diesel dan LPG," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh tiga bulan pertama 2017, minyak mentah Brent pulih kepada purata AS$54 satu tong berbanding AS$34 satu tong tahun lalu.

"Apabila harga minyak naik, marjin turut mengukuh," katanya.

PMRMB berkata, keuntungan operasi pada suku dikaji meningkat kepada RM137 juta daripada RM32 juta suku sama 2016.

Jumlah jualan keseluruhan PMRMB sebanyak 8.3 juta tong pada suku dikaji mewakili pengukuhan berbanding 8.2 juta tong tempoh sama tahun sebelumnya, katanya.

Mencerminkan harga minyak yang lebih tinggi dan peningkatan jualan domestik, pendapatan syarikat itu meningkat sebanyak 54 peratus kepada RM2.6 bilion.

"Prestasi kukuh Petron ialah hasil langsung program strategik yang membantu bangunkan jenama, meningkatkan kehadiran pasaran dan meraih lebih banyak manfaat daripada rantaian nilai kami," kata Pengerusinya, Ramon S Ang.

Berita Harian X