Khamis, 25 Mei 2017 | 12:43pm

Pakatan PROTON-Geely cermin komitmen padu pemulihan

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara PROTON dan Geely menggambarkan komitmen padu daripada syarikat automotif tempatan itu terhadap pelan pemulihannya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia juga menepati syarat pinjaman RM1.5 bilion yang diluluskan oleh kerajaan pada April tahun lalu.

Mustapa yakin keputusan perniagaan yang dibuat itu mengambil kira segenap kepentingan terhadap syarikat dan 10,000 pekerjanya serta 50,000 lagi pekerja yang terbabit dalam rantaian bekalan PROTON.

Mustapa berkata, Geely mempunyai prestasi yang terbukti cemerlang dan menjadi satu daripada syarikat automotif terkemuka di China.

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

"Geely mampu menyediakan banyak pemangkin kepada prestasi jualan PROTON dan keuntungannya. Kementerian berharap perjanjian ini membolehkan PROTON mempunyai akses untuk memasuki pasaran sedia ada pengeluar automotif dari China itu terutamanya di China serta pasaran pemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara.

"Saya yakin ini adalah perkembangan terbaharu yang ditunggu-tunggu oleh 350 pengeluar alat ganti dan komponen serta vendor perkhidmatan di bawah ekosistem PROTON," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama itu juga akan membolehkan PROTON meneroka teknologi dan kemudahan rekaan serta penyelidikan Geely.

Ia juga boleh memaksimumkan potensi operasi kilang pengeluaran PROTON di Tanjung Malim dan Shah Alam yang mempunyai gabungan kapasiti sebanyak 380,000 unit.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, PROTON hanya beroperasi pada kadar 40 peratus saja berbanding kapasiti penuhnya.

Mustapa berkata, sejak pengenalan Dasar Automotif Kebangsaan pada tahun 2006, pihaknya bekerja keras dengan semua pengeluar kereta termasuklah PROTON untuk meningkatkan eksport kereta ke rantau Asia dan dunia.

"Prestasi eksport kereta negara agak mengecewakan dengan hanya 33,438 unit dieksport pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, PROTON mengeksport 301 unit walaupun semasa zaman kegemilangannya, ia pernah mengeksport sekitar 20,000 unit setiap tahun.

"Dengan kerjasama ini, diharapkan PROTON akan mampu bangkit dan mencapai skala ekonomi yang terbaik," katanya.

Berita Harian X