Jumaat, 19 Mei 2017 | 4:04pm

Eksport getah RM20b tahun ini

PERMINTAAN terhadap getah asli oleh pihak industri terus meningkat. - Foto hiasan
PERMINTAAN terhadap getah asli oleh pihak industri terus meningkat. - Foto hiasan

SHAH ALAM: Kerajaan yakin nilai eksport getah asli dan produk berasaskan getah akan meningkat melebihi RM20 bilion pada tahun ini berbanding RM18.12 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Menteri Industri Pertanian dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata prestasi eksport getah pada tiga bulan pertama tahun ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 39 peratus.

"Dari Januari hingga Mac lalu, eksport getah negara sudah mencatat RM7.8 bilion berbanding RM5.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Ia disumbangkan oleh permintaan yang semakin meningkat terutama dari China yang mengimport 27 peratus getah asli dari negara ini.

"Ia diikuti oleh negara pengimport lain seperti Amerika Syarikat yang mengimport 20 peratus produk getah dan getah asli Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Industri Getah Antarabangsa 2017 (IRICE 2017) di sini, hari ini.

Pameran itu dianjurkan buat kali pertama oleh Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia (MRPMA) dan hadir sama pada majlis berkenaan adalah Presiden MRPMA, Datuk Dr Ong Eng Long dan Ketua Eksekutif Lembaga Promosi Eksport Getah Malaysia, Low Yoke Kiew.

Tambah Mah lagi, kerajaan melihat banyak potensi yang ada pada industri getah.

"Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, pihak yang terbabit akan melakukan lebih banyak aktiviti pemasaran bagi memberi pendedahan kepada negara lain mengenai produk getah Malaysia yang berkualiti di samping harga yang munasabah," katanya.

Sementara itu, IRICE 2017 dianjurkan sempena dengan sambutan ulang tahun ke-65 penubuhan MRPMA dan ia disertai lebih 250 peserta daripada industri tempatan dan juga luar negara.

INFO:

* Malaysia masih lagi bergelar pengeluar dan pengeksport sarung tangan perubatan di dunia dengan lebih 60 peratus pegangan pasaran.

Berita Harian X