X
Khamis, 18 Mei 2017 | 1:29pm

Mah Sing yakin prospek hartanah Johor

JOHOR BAHRU: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) tetap yakin dengan prospek pasaran hartanah Johor terutama di Iskandar Malaysia, yang berkembang pesat dan mendapat permintaan kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang, berkata Mah Sing menerokai pasaran hartanah Johor pada tahun 2000 dengan memajukan perbandaran kediaman, Sri Pulai Perdana, yang berkeluasan 121.2 hektar.

Sehingga kini, katanya, kumpulan Mah Sing mempunyai tujuh projek di Johor dengan jumlah simpanan tanah 554 hektar serta nilai pembangunan kasar dan jualan belum dibilkan bernilai RM6.8 bilion.

Berikutan itu, sejajar dengan strategi pengukuhan transformasi, kumpulan hartanah itu melancarkan pejabat korporatnya di Austin V Square di Taman Austin Perdana, di sini.

Pejabat korporat setinggi lima tingkat dengan keluasan 2,536.24 meter persegi itu terletak dalam pembangunan projek komersialnya.

Pembangunan komersial pegangan bebas itu merangkumi 164 unit suite korporat dan satu pusat konvensyen.

"Kami mahu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada kakitangan dan juga pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pejabat korporat, di sini, yang disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Sidek Paiman.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Jualan Mah Sing, Gerard Yuen dan Pengurus Besar Kanan Wilayah Selatan Mah Sing, Benjamin Ong.

Berita Harian X