Rabu, 3 Mei 2017 | 4:21pm

2,510 unit rumah, komersial RM1.1b di Jasin

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bergambar bersama orang ramai pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPM dan Bintang Urusjuta di Seri Negeri, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bergambar bersama orang ramai pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPM dan Bintang Urusjuta di Seri Negeri, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Kerajaan Melaka akan membangunkan 2,510 unit rumah dan lot komersial menerusi Projek Bandar Hijau Ayer Keroh di Jasin, di sini, dalam tempoh lima tahun.

Projek bernilai RM1.1 bilion di Ayer Panas itu meliputi pembinaan tujuh komponen di atas tapak seluas 149.4 hektar, termasuk 710 unit Rumah Mampu Milik (RMM).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata projek pembinaan itu dibangunkan syarikat kontraktor, Bintang Urusjuta (M) Sdn Bhd bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

"Antara komponen akan diwujudkan dalam projek ini adalah 350 unit rumah bandar mampu milik, rumah teres mampu milik (360), banglo setingkat (305), banglo satu setengah tingkat (198), banglo dua tingkat (1,220), kedai (77) dan sebuah lot komersial.

"Projek dijangka siap dalam tempoh lima tahun. Kita juga menjangkakan bakal menerima pulangan sehingga RM5.52 juta selepas enam bulan projek pembinaan 350 unit RMM siap dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPM dan Bintang Urusjuta di Seri Negeri, hari ini.

LPM diwakili Pengarah Eksekutifnya, Saleh Mohd Dom, manakala Bintang Urusjuta oleh Pengarahnya, Low Yew Hwa.

Berita Harian X